KUCHING: Pemerkasaan program wanita dan belia menjadi antara fokus calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, Nurfatin Syafawani Tahamat.
Menurutnya, selain pembangunan dan perkembangan setempat, aspek pendidikan akan dititikberatkan agar belia di kawasan tersebut khususnya tidak ketinggalan.
“Kita akan menyantuni rakyat dengan lebih menyeluruh, sekali gus mendekati mereka bagi memahami keperluan serta mengenal pasti perkara yang perlu diberi perhatian dan ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima watikah pencalonan GPS, di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau menyifatkan penyandang kerusi DUN Bekenu Datuk Rosey Yunus sebagai pemimpin yang hebat dan menjadi antara sumber inspirasi beliau untuk menceburi bidang politik.
Beliau berkata, pengalaman serta sumbangan Rosey dalam pembangunan kawasan berkenaan menjadi asas untuk beliau meneruskan usaha membangunkan kawasan itu.
“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada beliau sepanjang menerajui kawasan Bekenu dan berhasrat untuk meneruskan legasi pembangunan yang dibina,” katanya.
Sementara itu, Nurfatin, 34, berasal dari Kampung Kelulit, Bekenu, mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam bidang kejuruteraan dan sebelum ini berkhidmat sebagai jurutera kanan di Sarawak Energy Berhad.
Mengulas pemilihannya sebagai calon, beliau menyifatkan peluang itu sebagai satu penghormatan dan amanah besar yang akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Saya menyokong penuh agenda kepimpinan GPS dan perancangan yang dibawa gabungan berkenaan demi masa depan Sarawak,” katanya.

