ARTIKEL

Abang Johari bersama-sama barisan kepimpinan tertinggi dalam parti-parti komponen GPS serta calon-calon GPS merakam gambar selepas pengumuman calon GPS di ibu pejabat PBB, hari ini.

GPS gabung 11 muka baharu, kekalkan Rayong di Engkilili, tambah penyertaan wanita

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menampilkan 11 muka baharu dalam barisan 82 calonnya bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, selain mengekalkan sebahagian besar penyandang berpengalaman sebagai usaha mengimbangi pembaharuan kepimpinan dan kesinambungan pentadbiran negeri.

Senarai calon itu diumumkan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini, sekali gus menyaksikan kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan calon terdiri daripada muka baharu, dengan dua daripadanya ialah wanita.

Antara 11 muka baharu yang diketengahkan ialah Wung Duk Ing bagi kerusi Padungan, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim (Muara Tuang), Yussuf Chik (Simunjan), Awang Nashfarini Awang Sarbini (Beting Maro) dan Leonard Libau Anol (Simanggang).

Turut diberikan kepercayaan ialah Nor-E-Fadzwie Salleh (Kabong), Alexander Donald (Ngemah), Kevin Lau Kor Jie (Bawang Assan), Cerisologo Sabut (Pelagus), Nurfatin Syafawani Tahamat (Bekenu) dan Datu Jack Liam (Batu Danau).

Pertukaran calon itu turut melibatkan beberapa kawasan yang sebelum ini diwakili penyandang berpengalaman, termasuk Bawang Assan yang menyaksikan Datuk Seri Wong Soon Koh memberi laluan selepas tujuh penggal, Simanggang (Datuk Francis Harden Hollis) dan Bekenu (Datuk Rosey Yunus), masing-masing selepas enam dan empat penggal.

Perubahan turut berlaku di Padungan, Muara Tuang, Simunjan, Beting Maro, Kabong, Ngemah, Pelagus dan Batu Danau.

Barisan baharu GPS itu turut menyaksikan peningkatan penyertaan wanita apabila mengetengahkan lima calon wanita berbanding empat pada PRU sebelumnya.

Mereka ialah Datuk Seri Fatimah Abdullah (Dalat), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang), Dayang Noorazah Awang Sohor (Lingga) termasuk dua muka baharu, Nurfatin dan Dayang Nurfizawati.

Dalam pada itu, pengekalan Johnical Rayong Ngipa di kerusi Engkilili turut menjadi antara perkembangan yang mendapat perhatian dalam senarai calon GPS kali ini.

Keputusan mengekalkan Rayong menarik perhatian memandangkan beliau sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) berkuat kuasa 22 November lalu, lalu kembali kepada parti asalnya – Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Selain Rayong, GPS turut mengekalkan beberapa penyandang yang mempunyai pengalaman luas dalam DUN, termasuk Abang Johari di Gedong, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Bukit Saban, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Bukit Sari, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn di Tarat dan Datuk Ibrahim Baki di Satok.

Penyandang lain yang dikekalkan termasuk Datuk Fazzrudin Abdul Rahman di Tupong, Datuk Hamzah Ibrahim di Stakan, Datuk Martin Ben di Kedup, Datuk Dr Jerip Susil di Mambong serta Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di Asajaya.

Turut dikekalkan ialah beberapa pemimpin berpengalaman seperti Datuk Seri Huang Tiong Sii di Repok, Datuk Dr Stephen Rundi Utom di Kemena, Datuk Dr Ripin Lamat di Lambir dan Datuk Seri John Sikie Tayai di Kakus.

Dari segi pembahagian kerusi, PBB akan bertanding di 47 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di 18 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) di 11 kerusi dan Parti Demokratik Progresif (PDP) di enam kerusi.

Mengulas pemilihan calon, Abang Johari berkata pembaharuan itu merupakan sebahagian daripada proses meremajakan GPS dan parti-parti komponennya.

Menurutnya, calon baharu yang diketengahkan mempunyai purata lingkungan umur antara 40 hingga 50 tahun, manakala penyertaan golongan muda turut diberi perhatian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyandang yang memilih untuk berundur bagi memberi peluang kepada muka baharu, selain mengiktiraf sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah berkhidmat mewakili GPS dalam penggal lepas.

“Terima kasih juga kepada mereka yang mengundur diri dan memberi peluang kepada muka baharu, ini adalah proses kita untuk meremajakan GPS dan parti masing-masing.

“Terima kasih juga kepada parti-parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya kali ini, khasnya rakan-rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan iaitu Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Amanah dan Parti Keadilan Rakyat,” katanya.

Abang Johari turut menyerahkan kepada rakyat untuk memberikan mandat kepada GPS bagi meneruskan usaha memajukan Sarawak sebagai wilayah yang maju dan makmur.

BERITA LAIN

GPS pilih Kevin di Bawang Assan

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie, sebagai calonnya di kerusi DUN Bawang Assan pada Pilihan Raya

Nurfatin Syafawani Calon Baharu GPS di Bekenu

KUCHING: Pemerkasaan program wanita dan belia menjadi antara fokus calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, Nurfatin Syafawani

BERITA TERBARU

GPS pilih Kevin di Bawang Assan

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie, sebagai calonnya di kerusi DUN Bawang Assan pada Pilihan Raya

Nurfatin Syafawani Calon Baharu GPS di Bekenu

KUCHING: Pemerkasaan program wanita dan belia menjadi antara fokus calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, Nurfatin Syafawani