ARTIKEL

GPS pilih Kevin di Bawang Assan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie, sebagai calonnya di kerusi DUN Bawang Assan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, sekali gus menamatkan teka-teki tuntutan kerusi berkenaan antara SUPP dengan PDP.

Kevin, yang juga Ketua Pemuda SUPP Pusat, merupakan muka baharu dalam senarai 82 calon GPS yang diumumkan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Pemilihannya menyusul keputusan penyandang, Datuk Seri Wong Soon Koh, 84, yang mengesahkan tidak mempertahankan kerusi itu selepas kira-kira 35 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

Kevin ketika ditemui berkata, keutamaan beliau ialah memastikan pengundi terus memberikan kepercayaan kepada GPS berdasarkan khidmat yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

“Kita sudah lama berkhidmat kepada masyarakat dan saya perlu memastikan rakyat terus percaya serta yakin kepada GPS,” katanya.

Jelasnya, agenda yang mahu diperjuangkan beliau ialah merealisasikan cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Tebingan Barat Sibu dengan pusat bandar Sibu bagi merangsang pertumbuhan penduduk dan aktiviti ekonomi di Bawang Assan.

Beliau berkata, cadangan itu pernah dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dengan harapan kemudahan berkenaan dapat membuka laluan kepada pembangunan kawasan itu sebagai sebahagian daripada pertumbuhan bandar Sibu.

“Apabila infrastruktur tersedia, penduduk dapat bergerak dengan lebih mudah, sekali gus membuka ruang kepada pertumbuhan penduduk dan aktiviti komersial.

“Kita juga mahu membantu sektor pertanian dan melihat potensi dalam akuakultur,” katanya.

Jelasnya, Bawang Assan turut mempunyai potensi dalam industri pembinaan kapal, selain aktiviti perladangan dan tanaman sayur-sayuran.

Beliau turut berharap pertumbuhan penduduk dapat membantu memastikan sekolah di kawasan itu terus beroperasi dengan jumlah murid mencukupi.

Kevin, 41, yang mempunyai latar belakang profesional dalam bidang ukur bahan, berkata beliau sudah berkhidmat di Bawang Assan selama tiga tahun sebagai Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan.

Sementara itu, Wong, yang juga bekas Naib Presiden Kanan PDP, mengumumkan peletakan jawatan daripada parti itu berkuat kuasa 22 November lalu, namun menegaskan akan terus menyokong GPS serta calon yang dipilih bagi Bawang Assan.

Kerusi itu sebelum ini menjadi perhatian susulan pertindihan tuntutan antara PDP dengan SUPP apabila PDP mahu terus mempertahankan kerusi berkenaan, manakala SUPP mengekalkan pendirian bahawa Bawang Assan merupakan kerusi tradisinya.

Malah, Setiausaha Politik Premier, Joshua Ting Fu Ying, sebelum ini turut disebut sebagai calon berpotensi selepas namanya dikatakan diketengahkan PDP untuk kerusi berkenaan.

Pada PRU 2021, Wong yang bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengekalkan kerusi Bawang Assan dengan 5,952 undi, mengatasi calon GPS daripada SUPP, Robert Lau Hui Yew, yang memperoleh 5,039 undi dengan majoriti 913 undi.

BERITA LAIN

Nurfatin Syafawani Calon Baharu GPS di Bekenu

KUCHING: Pemerkasaan program wanita dan belia menjadi antara fokus calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, Nurfatin Syafawani

Nor-E-Fadzwie taruhan GPS di Kabong

KUCHING: Selepas dua penggal mewakili Kabong, Datuk Mohamad Chee Kadir memberi laluan kepada muka baharu GPS, Nor-E-Fadzwie Salleh, untuk meneruskan khidmat parti itu di kawasan

BERITA TERBARU

Nurfatin Syafawani Calon Baharu GPS di Bekenu

KUCHING: Pemerkasaan program wanita dan belia menjadi antara fokus calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, Nurfatin Syafawani

Nor-E-Fadzwie taruhan GPS di Kabong

KUCHING: Selepas dua penggal mewakili Kabong, Datuk Mohamad Chee Kadir memberi laluan kepada muka baharu GPS, Nor-E-Fadzwie Salleh, untuk meneruskan khidmat parti itu di kawasan