ARTIKEL

Nor-E-Fadzwie taruhan GPS di Kabong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Selepas dua penggal mewakili Kabong, Datuk Mohamad Chee Kadir memberi laluan kepada muka baharu GPS, Nor-E-Fadzwie Salleh, untuk meneruskan khidmat parti itu di kawasan berkenaan pada PRU Sarawak Ke-13.

Bagi Nor-E-Fadzwie, kepercayaan itu membawa tanggungjawab besar, terutama memastikan keperluan penduduk terus diberi perhatian serta perancangan pembangunan yang sudah dikenal pasti tidak terhenti.

Beliau berkata, antara perkara yang akan diberi perhatian ialah senarai lebih 100 projek pembangunan yang sudah dicadangkan oleh Chee untuk kawasan Kabong.

“Saya akan meneliti senarai itu dan mengenal pasti projek yang memberi impak paling besar supaya kita dapat memberi keutamaan kepada projek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon GPS di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.

Nor-E-Fadzwie berkata, beliau sebelum ini turut menyertai beberapa sesi libat urus bersama-sama Chee, perunding dan pihak berkuasa berkaitan bagi memahami keperluan pembangunan kawasan itu.

Katanya, pendekatan pembangunan Kabong juga perlu mengambil kira sumber pendapatan penduduk yang banyak bergantung kepada pertanian, perikanan dan aktiviti berasaskan kampung.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih separuh pengundi di Kabong berusia bawah 40 tahun, sekali gus memerlukan perhatian dengan aspirasi generasi muda.

“Mereka mempunyai aspirasi dan perspektif berbeza kerana membesar dalam dunia yang dipengaruhi perkembangan seperti kecerdasan buatan (AI),” tambahnya.

Beliau berkata, pendekatan libat urus bersama-sama pelbagai komuniti, parti politik, pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan diperluas bagi memahami keperluan penduduk.

Nor-E-Fadzwie yang berasal dari Kabong tetapi kini menetap di Kuching, sebelum ini berkhidmat dengan Borneo Development Corporation (BDC) dan menamatkan perkhidmatannya secara rasmi hari ini.

Beliau juga Ketua Penerangan PBB Cawangan Kabong.

Chee pertama kali memenangi kerusi Kabong pada PRN 2016 atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 3,585 undi sebelum mempertahankannya pada PRN 2021 menerusi GPS dengan majoriti 2,763 undi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU