KUCHING: Usaha menangani krisis perubahan iklim terus diperkasa apabila kumpulan sukarelawan antarabangsa, ASEZ WAO, menanam sebanyak 30 pokok di Taman Lee Ling hari ini.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada kempen global “Mother’s Forest” yang digerakkan di pelbagai negara dengan matlamat memperluas kawasan hijau dan meningkatkan penyerapan karbon.



Inisiatif tersebut menghimpunkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada ahli organisasi, keluarga serta rakan sekerja yang bersama-sama menjayakan aktiviti penanaman.
Antara spesies pokok yang ditanam termasuk Bintangor, Ru Ronang, Shorea Macrophylla dan Sapotaceae yang sesuai dengan persekitaran tempatan.


Menurut wakil penganjur, projek “Mother’s Forest” diinspirasikan daripada nilai kasih sayang seorang ibu dalam memelihara alam demi kesejahteraan generasi akan datang.
Katanya, penglibatan golongan belia penting dalam memimpin usaha kelestarian selain membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.


Majlis Perbandaran Padawan turut menyokong program tersebut dengan menyediakan kemudahan termasuk dewan berteduh, makanan, tanah, baja dan peralatan.
Selain penanaman pokok, ASEZ WAO giat melaksanakan pelbagai program lain seperti pembersihan kawasan bandar, sungai dan laut, di samping inisiatif penjimatan sumber di tempat kerja, sekali gus mengukuhkan komitmen global terhadap pemuliharaan alam sekitar.





