KUCHING: Masa depan politik Sarawak perlu ditentukan oleh rakyat negeri ini sendiri menerusi kepimpinan dan parti politik tempatan bagi memastikan kepentingan, autonomi serta hak perlembagaan negeri terus terpelihara.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, Sarawak perlu mempertahankan identiti politik tersendiri dan tidak terpengaruh dengan pendekatan politik dari Semenanjung Malaysia, khususnya yang berteraskan konfrontasi, polarisasi kaum dan agama serta agenda parti luar.
Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 yang menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 kerusi manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi 25 daripada keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menunjukkan peranan parti tempatan dalam menentukan hala tuju pentadbiran negeri.
Sarawak juga perlu terus mengutamakan parti politik tempatan dan institusi yang berakar umbi di negeri ini dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
“GPS mewakili pendekatan politik berteraskan Sarawak dibina atas prinsip keterangkuman, saling menghormati dan kerjasama antara semua kaum serta agama.
Yap berkata, budaya politik inklusif yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri itu perlu terus dipelihara supaya kepentingan Sarawak menjadi keutamaan dalam setiap keputusan berkaitan pentadbiran dan pembangunan.
Beliau turut menegaskan bahawa hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan, termasuk autonomi negeri, kuasa imigresen serta kawalan terhadap sumber asli, perlu terus dipertahankan.
Katanya, prinsip Sarawak First bukan sekadar slogan politik, sebaliknya mencerminkan komitmen untuk melindungi hak, identiti dan masa depan negeri daripada kepentingan luar yang boleh menjejaskan kedudukan Sarawak.






