KUCHING: Kanak-kanak daripada institusi kebajikan dan keluarga berpendapatan rendah diberi peluang mengembangkan bakat serta kemahiran praktikal menerusi aktiviti kraftangan dan jahitan kreatif bagi mencungkil potensi di luar bidang akademik.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata inisiatif itu masih di peringkat awal bagi menilai sambutan sebelum diperluas kepada aktiviti kemahiran lain yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan kanak-kanak.
Katanya, usaha memperkasa golongan remaja perempuan dan kanak-kanak perlu diberi perhatian, di samping inisiatif pemerkasaan wanita yang sering diketengahkan.

“Justeru, tahun ini kita masih di peringkat percubaan bagi menilai sambutan daripada pelbagai pihak, khususnya kanak-kanak daripada institusi kebajikan, keluarga B40 dan sekolah.
“Pada masa yang sama, kita turut membawa seorang tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran di peringkat antarabangsa untuk membimbing kanak-kanak tersebut,” katanya ketika berucap pada Malam Media KPWKM @ Sarawak di Star On Stage (SOS) di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Nancy menambah bahawa kementerian turut merancang memperluas pendedahan kepada pelbagai aktiviti kemahiran lain, termasuk jahitan kreatif, yang boleh disertai kanak-kanak perempuan dan lelaki.
Menurutnya, usaha itu bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka kebolehan masing-masing, khususnya mereka yang kurang berminat dalam bidang akademik.

“Kita mahu mendedahkan mereka kepada aktiviti yang dapat menyerlahkan kemahiran tangan dan bakat yang dimiliki,” ujarnya.
Nancy turut mengiktiraf peranan media sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dengan rakyat, khususnya dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif, bantuan dan perkhidmatan kepada golongan sasar.
“Peranan media amat penting dalam memastikan maklumat berkenaan sampai kepada masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman, terutama mereka yang mungkin masih kurang mendapat akses kepada maklumat mengenai bantuan yang disediakan kerajaan.
“Media juga memainkan peranan sebagai mata, telinga dan suara rakyat,” jelasnya.
Terdahulu, majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan simbolik kempen KPWKM kepada rakan media bagi memperluas penyampaian maklumat serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesejahteraan keluarga dan komuniti.
Antara kempen yang diketengahkan ialah Kempen Hentikan Keganasan Rumah Tangga bertemakan “Berani Bertindak #JanganDiam”, Kempen “Awak OK Tak?” yang menggalakkan masyarakat lebih peka terhadap kesejahteraan emosi individu di sekeliling, dan Kempen Sektor Penjagaan bertemakan “Ilmu Menjaga, Kasih Dirasa” serta tanda pagar #KitaSamaJaga.





