KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah mengemukakan senarai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13) kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk pertimbangan sebelum keputusan muktamad dibuat.
Presidennya, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pemilihan calon dijangka melalui beberapa pusingan perbincangan kerana setiap nama yang dicadangkan perlu menjalani penilaian pelbagai agensi berkaitan.
Hasil penilaian itu akan menjadi antara faktor penentu kesesuaian seseorang calon, sekali gus membuka kemungkinan perubahan dibuat terhadap senarai yang telah dikemukakan.

“Kita telah mencadangkan semua nama kepada Premier dan mungkin terdapat beberapa pusingan perbincangan kerana beliau perlu mendapatkan penilaian daripada pelbagai agensi.
“Kadangkala, apabila keputusan penilaian diterima, ada calon yang didapati tidak sesuai.
Jadi, kita mungkin perlu membuat pertukaran,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuil Sri Maha Mariamman di sini, pagi tadi.
Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan SUPP mengetengahkan calon wanita pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13).
Mengulas perkara itu, Dr Sim berkata, keputusan pencalonan, termasuk kemungkinan mengetengahkan calon wanita, masih tertakluk kepada pertimbangan Abang Johari.
Katanya, setiap individu yang dicadangkan perlu memenuhi syarat pemeriksaan kesihatan seperti ditetapkan Pengerusi GPS itu.
“Premier telah menyatakan bahawa semua calon mesti lulus pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Ditanya sama ada SUPP sudah mengenal pasti calon wanita berpotensi, beliau tidak memperincikan perkara itu, sebaliknya mengulangi bahawa setiap calon perlu melepasi pemeriksaan kesihatan.
SUPP merupakan satu daripada empat parti komponen GPS, bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Dalam perkembangan lain, Dr Sim berkata, semua permohonan keahlian SUPP akan dibawa untuk penelitian Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti pada mesyuarat akan datang.
Menurutnya, permohonan keahlian diterima sepanjang tahun, namun penelitian hanya dapat dilakukan ketika CWC bermesyuarat, iaitu empat kali setahun.
“Orang ramai memohon untuk menjadi ahli sepanjang tahun, tetapi CWC tidak bermesyuarat setiap hari. Kita hanya bermesyuarat empat kali setahun. Jadi, apabila mesyuarat diadakan, kita akan meneliti permohonan yang diterima,” katanya.
Untuk rekod, DUN Sarawak Ke-19 dibubarkan secara rasmi pada 26 Oktober lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bagi membuka laluan kepada PRN Sarawak Ke-13.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat khas pada 6 November ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian, selaras dengan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak yang menetapkan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.






