GEORGE TOWN: CIMB Islamic Bank Bhd dan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) memperkenalkan program latihan kemahiran teknikal bagi membantu belia kurang berkemampuan memperoleh pekerjaan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta pembuatan.
Program Kemahiran Teknikal dan Pekerjaan iTEKAD CIMB Islamic yang dilancarkan hari ini menyasarkan 40 peserta dalam dua kumpulan, dengan setiap kumpulan menjalani latihan tiga bulan sepanjang 480 jam.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow menyifatkan inisiatif sedemikian mampu merapatkan jurang antara potensi dengan peluang, sekali gus membolehkan lebih ramai belia menyertai ekosistem perindustrian negeri yang kian berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Ahmad Shahriman Mohd Shariff menjelaskan program itu menjadi usaha pertama bank berkenaan menyediakan laluan alternatif kepada belia yang kurang akses kepada latihan TVET seperti dilapor Bernama.
Peserta layak menerima latihan dibiayai sepenuhnya, elaun bulanan RM1,000, Sijil Tamat Latihan PSDC, bantuan penempatan kerja, sesi literasi kewangan serta perlindungan takaful individu.






