KUCHING: AirBorneo membuka jualan tiket bagi laluan terus baharu Kuching-Jakarta yang bermula pada 13 November dengan tambang sehala termasuk semua caj serendah RM399.
Laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta itu beroperasi tiga kali seminggu pada Isnin, Jumaat dan Ahad, manakala tambang Kelas Perniagaan bermula RM888.
Penerbangan pertama MY 396 berlepas dari Kuching pada 3.10 petang, sementara penerbangan pulang MY 397 meninggalkan Jakarta pada 4.55 petang waktu tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Aminuddin, menyifatkan laluan itu sebagai pencapaian penting dalam memperluas rangkaian serantau, selain memudahkan perjalanan pemimpin perniagaan, pelabur, delegasi rasmi, pesakit dan pelancong.
Seiring pelancaran itu, AirBorneo menyelaraskan kekerapan penerbangan serantau bagi jadual musim sejuk Utara 2026/27, termasuk Kuching-Singapura empat kali seminggu, dan penumpang boleh menempah menerusi aplikasi mudah alih, laman web atau pejabat jualan tiketnya di lapangan terbang seperti dilapor Bernama.






