KUCHING: AirBorneo membuka jualan tiket bagi laluan terus baharu Kuching–Jakarta mulai hari ini, dengan tambang sehala serendah RM399 bagi Kelas Ekonomi dan RM888 bagi Kelas Perniagaan.
Perkhidmatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK) itu beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada setiap Isnin, Jumaat dan Ahad, manakala penerbangan sulung dijadualkan pada 13 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata, laluan terus berkenaan satu pencapaian penting dalam usaha syarikat penerbangan milik Sarawak itu memperluas rangkaian serantaunya ke pintu masuk utama ASEAN.
“Perhubungan udara terus ke ibu kota komersial Indonesia akan memudahkan perjalanan pemimpin perniagaan, pelabur dan delegasi rasmi antara kedua-dua pasaran.
“Ia juga menawarkan perjalanan yang lebih selesa kepada pesakit dan keluarga yang mendapatkan rawatan pakar di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, laluan itu turut membuka potensi lebih besar kepada sektor pelancongan dua hala bagi pengunjung Indonesia yang ingin meneroka hutan hujan, budaya dan festival di Borneo, manakala pelancong dari Borneo memperoleh akses terus ke Jakarta.
“Tempahan bagi laluan Jakarta boleh dibuat menerusi aplikasi mudah alih rasmi AirBorneo, laman web syarikat penerbangan itu atau kaunter tiket AirBorneo di lapangan terbang,” ujarnya.
Bagi laluan Kuching–Jakarta, penerbangan MY396 berlepas dari Kuching pada 3.10 petang dan tiba di Jakarta pada 4 petang waktu tempatan.
Penerbangan balik MY397 pula dijadual berlepas dari Jakarta pada 4.55 petang waktu tempatan dan tiba di Kuching pada 7.45 malam, manakala kedua-dua perkhidmatan beroperasi setiap Isnin, Jumaat dan Ahad.
Dalam masa sama, beliau berkata, AirBorneo turut menyelaraskan kekerapan laluan Kuching–Singapura kepada empat kali seminggu iaitu pada setiap Selasa, Rabu, Khamis dan Sabtu sejak 23 Oktober lalu.
“Penerbangan MY0385 dari Kuching berlepas pada 7.35 malam dan tiba di Singapura pada 9.10 malam.
“Manakala penerbangan MY0386 dari Singapura berlepas pada 10 malam dan tiba di Kuching pada 11.35 malam,” ujarnya.
Jelasnya, penumpang yang terjejas akibat perubahan jadual penerbangan Singapura telah dihubungi secara terus dan diberi pilihan untuk membuat tempahan semula.
Bagi laluan Kuching–Kuala Lumpur pula, katanya, AirBorneo mengekalkan dua penerbangan pergi dan balik setiap hari di bawah jadual musim sejuk 2026/2027 yang berkuat kuasa sehingga 27 Mac tahun depan.
“Penerbangan MY5003 dari Kuching berlepas pada 7.10 pagi dan tiba di Kuala Lumpur pada 9 pagi, manakala MY5002 dari Kuala Lumpur berlepas pada 9.45 pagi dan tiba di Kuching pada 11.35 pagi.
“Penerbangan kedua dari Kuching, MY5005, berlepas pada 1 petang dan tiba di Kuala Lumpur pada 2.50 petang, manakala MY5004 dari Kuala Lumpur berlepas pada 3.40 petang dan tiba di Kuching pada 5.30 petang,” katanya lagi.
Tegasnya, semua tiket AirBorneo dijual secara eksklusif melalui saluran rasmi bagi memastikan ketelusan tambang, mengelakkan caj tambahan pihak ketiga yang tidak dibenarkan serta menyediakan sokongan terus kepada pelanggan.
AirBorneo ialah syarikat penerbangan milik Sarawak yang ditubuhkan pada Januari 2026 susulan peralihan daripada MASWings sebelum memperluas operasinya dari Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) kepada operasi jet menerusi laluan Kuching–Kuala Lumpur, Singapura dan kini Jakarta.





