KUCHING: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus menyuarakan harapan agar Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengetengahkan lebih ramai calon wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak itu berkata, hasrat menambah bilangan calon wanita sudah lama disuarakan dan diharap mendapat perhatian Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS.
“Kita berharap lebih ramai calon wanita akan diketengahkan kerana perkara ini sudah lama kita suarakan sebelum ini, iaitu meminta supaya jumlah calon wanita ditambah.
“Mudah-mudahan Premier mendengar hasrat tersebut. Beliau tahu bahawa kita mahu lebih ramai calon wanita diketengahkan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Jangkauan Kesedaran Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) Inklusif Siri 2/2026 di Dewan Kompleks Hikmah, Jalan Pustaka, di sini, hari ini.
GPS ketika ini mempunyai empat penyandang kerusi wanita daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), termasuk Rosey, bersama tiga lagi wakil rakyat wanita iaitu Datuk Seri Fatimah Abdullah di DUN Dalat, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (DUN Samariang) dan Dayang Noorazah Awang Sohor (DUN Lingga).
Mengulas kedudukannya sebagai calon GPS pada PRU Sarawak ke-13, Rosey menyerahkan keputusan itu kepada Premier.
“Dalam politik, kita melalui proses pemilihan setiap lima tahun. Keputusan untuk terus berkhidmat bagi penggal seterusnya terletak di tangan Premier,” ujarnya.
Mengulas tentang pembangunan di kawasannya sepanjang lima tahun lalu, Rosey memberitahu beliau berpuas hati dengan pencapaian yang dilaksanakan, namun menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasinya sebagai wakil rakyat.
“Jika saya sendiri yang menyatakannya, ia seolah-olah saya memuji diri sendiri. Jadi, saya menyerahkan kepada penduduk di kawasan saya untuk menilai apa yang telah kita laksanakan.
“Setiap wakil rakyat mempunyai prestasi di kawasan masing-masing, jadi kita serahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian,” tegasnya.
Rosey berjaya mempertahankan kerusi DUN Bekenu selama empat penggal berturut-turut sejak memenanginya pada 2006 dengan memperoleh 4,357 undi. Beliau kemudian meraih 4,946 undi pada 2011, diikuti 6,009 undi pada 2016 dan 6,354 undi pada 2021.






