ARTIKEL

Willie menjawab soalan yang diajukan oleh pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Parlimen Puncak Borneo. Foto: Levrone Aigle

Tiga penyandang DUN Puncak Borneo wajar kekal calon GPS – Willie

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Tiga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen Puncak Borneo wajar dikekalkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin berkata, beliau akan memberikan sokongan penuh jika Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat yang juga penyandang DUN Tarat Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pengangkutan (Darat dan Udara) yang juga penyandang DUN Mambong Datuk Dr Jerip Susil serta penyandang DUN Serembu Datuk Miro Simuh dicalonkan semula.

Beliau menjelaskan, kerjasama yang terjalin sepanjang penggal lalu membawa pelbagai manfaat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

“Bagi saya, kesinambungan kerjasama selama lima tahun ini, dengan hubungan yang baik dan stabil, mampu membawa kemajuan kepada rakyat.

“Biar rakyat menilai kerana kita hanya melakukan yang terbaik. Kita juga tidak mengambil mudah segala kritikan dan komen negatif yang dilontarkan pihak pembangkang, sebaliknya menerima pandangan tersebut sebagai panduan untuk melakukan penambahbaikan,” katanya.

Jerip menjawab soalan pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Parlimen Puncak Borneo. Foto: Levrone Aigle

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Parlimen Puncak Borneo yang disempurnakan oleh Jerip di Pusat Acara Kasah, di sini, hari ini.

Willie yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, beliau melihat sendiri usaha pembangunan yang dilaksanakan ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan menerusi kerjasama sepanjang penggal lalu.

Katanya, terdapat pelbagai projek pembangunan sedang dilaksanakan di ketiga-tiga kawasan DUN berkenaan, selain beberapa projek di bawah Kerajaan Persekutuan yang telah melalui proses tender tetapi masih belum dilaksanakan.

Beliau berkata, satu papan pemuka prestasi yang merangkumi senarai projek pembangunan di ketiga-tiga kawasan DUN berkenaan, termasuk Parlimen Puncak Borneo, telah disediakan dan akan dipaparkan kepada masyarakat selepas pengumuman berkaitan dibuat.

Menurutnya, walaupun tidak semua perkara dapat dilaksanakan sepenuhnya, mereka akan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Willie berkata, keputusan mengenai calon yang akan bertanding pada PRN akan datang perlu menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta keputusan Premier Sarawak.

Beliau berharap ketiga-tiga penyandang berkenaan dikekalkan dan menegaskan akan memberikan sokongan penuh jika mereka dicalonkan semula.

Sementara itu, Jerip berkata, beliau menyerahkan keputusan mengenai pencalonan pada PRN akan datang kepada kepimpinan GPS dan menunggu pengumuman rasmi SPR berhubung tarikh penamaan calon.

Katanya, sepanjang lima tahun lalu, beliau bersama wakil rakyat lain melaksanakan pelbagai pembangunan di kawasan masing-masing menerusi peruntukan kerajaan termasuk Agensi Penyelaras Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Beliau berkata, rakyat akan menentukan sama ada usaha dan pencapaian yang dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut memenuhi keperluan mereka.

BERITA LAIN

Empat sayap PBB Tebedu pilih Simon calon GPS

KUCHING: Empat sayap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tebedu sebulat suara menyokong Dr Simon Sinang Bada dicalonkan semula sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS)

BERITA TERBARU

Jualan kraf Regata Sarawak dijangka lepasi RM2 juta

KUCHING: Jualan produk kraf sempena Regata Sarawak 2026 dijangka melebihi RM2 juta, susulan sambutan menggalakkan pengunjung sepanjang minggu penganjurannya di Tebingan Kuching. Menteri Pelancongan, Industri