SIMANGGANG: Rezeki tidak diduga buat Mahdi Sahari dari Taman Sri Jaya apabila membawa pulang sebuah Perodua Bezza G 1.0 berwarna hitam menerusi cabutan bertuah e-Peraduan sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman, sebentar tadi.
Mahdi muncul antara tiga pemenang bertuah daripada 108,452 pengunjung yang memeriahkan penganjuran program berkenaan.
Hadiah utama itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli pada majlis penangguhan SKS 2026 Bahagian Sri Aman.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program SKS 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman, Datuk Hii Chang Kee dan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Dua lagi pemenang cabutan bertuah e-Peraduan ialah Abby Adilla Limping Abdullah dan Mahani Mohammad.
Abby membawa pulang sebuah motosikal Modenas Kriss, manakala Mahani dari Kampung Hilir Sri Aman memenangi sebuah Yamaha Avantiz.
Dengan penyampaian hadiah berkenaan, SKS 2026 Bahagian Sri Aman secara rasmi melabuhkan tirainya sebagai lokasi kesembilan penganjuran program itu.
Majlis perasmian program berkenaan pada Sabtu lalu disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.




