KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Beliau akan mengangkat sumpah jawatan pemangkuan itu pada jam 4.00 petang, esok di Bilik Menghadap Utama Astana Negeri di Petra Jaya.
Pelantikan itu susulan ketiadaan Tun Abdul Taib Mahmud yang kini masih dalam proses pemulihan kesihatandi Turkiye kerana sebelum ini menjalani prosedur pembedahan di luar negara.
Dijangka turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada 3 Ogos lalu, setiausaha sulit Tun Taib, Junih Salleh Ahmad dalam satu kenyataan menyangkal dakwaan mengenai keadaan Yang di-Pertua Negeri dan memaklumkan beliau akan pulang ke tanah air dalam tempoh terdekat jika dibenarkan doktor yang merawatnya di sana.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Asfia melaksanakan tugas tersebut, dan kali terakhir adalah pada 1 Disember 2019 hingga 11 Januari 2020.
Asfia sebelum ini dilantik sebagai Speaker sejak 15 Januari 2000. Beliau telah disambung tugas sebanyak lapan kali dan akan berakhir pada November depan.
Sebelum ini beliau pernah dilantik sebagai Pemangku Yang di Pertua Negeri sebanyak lima kali.
Asfia merupakan Lulusan Undang-Undang daripada Leeds University , England dan memperoleh Barrister-at-Law dariInner Temple, London.
Beliau juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi DUN Kuala Rajang (1979 hingga 1983) dan Serdeng / Semop (1991 hingga 2011).
Beliau dilantik Timbalan Speaker DUN Sarawak pada 1995 hingga 2000, sebelum dinaikkan sebagai Speaker DUN Sarawak bermula 15 Januari 2000.