KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, menghentikan perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen, mengenai rekod Hansard selepas memutuskan isu itu di luar skop Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026.
Keputusan itu dibuat selepas Chong mengaitkan rekod Hansard dengan takrif baharu “Arkib Memorial” dalam RUU berkenaan serta mencadangkan supaya rekod tersebut turut dikategorikan sebagai bahan sejarah negeri.
“Saya sudah memberi kelonggaran, tetapi jangan alihkan perbahasan kepada Hansard Dewan. Itu perbahasan yang berasingan. Saya tidak akan membenarkannya,” katanya pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Sebelum itu, Chong membangkitkan takrif Arkib Memorial yang merujuk kepada arkib yang diwujudkan bagi menyimpan, memelihara dan mempamerkan bahan sejarah berkaitan sesuatu peristiwa, tempat, individu atau aspek sejarah lain.
Beliau berpandangan arkib berkenaan seharusnya merangkumi arkib digital supaya maklumat dan bahan sejarah dapat disimpan dalam awan atau ruang siber serta diakses oleh orang ramai.
Chong turut mencadangkan supaya rekod Hansard DUN Sarawak dimasukkan dalam kategori bahan sejarah, memandangkan institusi itu mempunyai sejarah selama 159 tahun.
Menurutnya, Hansard merekodkan perjalanan sesuatu rang undang-undang, termasuk proses pengenalan, perbahasan dan kelulusannya di Dewan.
Beliau menyifatkan rekod itu sebagai satu peristiwa sejarah dan mempertahankan pandangannya bahawa Hansard wajar dianggap sebagai sebahagian daripada bahan sejarah negeri.
RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 antara lain bertujuan memperkukuh pengurusan rekod dan arkib negeri melalui pendigitalan, pemeliharaan bahan sejarah serta peluasan akses kepada koleksi arkib.
Pindaan itu turut memperluas fungsi pengurusan rekod digital dan arkib, termasuk memperkenalkan konsep Arkib Memorial bagi memastikan rekod kerajaan serta bahan sejarah dipelihara, dijejaki dan diakses secara lebih sistematik.

