KUCHING: Istilah semak dan imbang tidak tepat digunakan untuk menggambarkan usaha parti politik menghalang parti lawan daripada memenangi semua kerusi pilihan raya.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, keadaan itu lebih tepat disebut sebagai semak parti, yang berbeza daripada konsep semak dan imbang dalam sistem pemerintahan.
Menurutnya lagi, semak dan imbang merujuk kepada mekanisme pengawasan kuasa antara tiga cabang pemerintahan, iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman bagi memastikan tiada satu cabang menguasai keseluruhan sistem pemerintahan.
“Apabila Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyebut semak dan imbang, yang dimaksudkan sebenarnya ialah semak parti, iaitu tidak mahu Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi semua kerusi.
“Mereka tidak memahami apa-apa yang dimaksudkan dengan istilah semak dan imbang kerana konsep tersebut melibatkan tiga cabang pemerintahan,” katanya pada sidang media oleh Speaker DUN di sini, hari ini.
Asfia menegaskan, DAP menggunakan istilah yang salah kerana apa-apa yang diperjuangkan parti itu sebenarnya ialah semak parti, bukannya semak dan imbang seperti yang ditakrifkan dalam prinsip pemisahan kuasa.
“Penggunaan istilah itu perlu dijelaskan kepada masyarakat supaya tidak berlaku kekeliruan maksud sebenar semak dan imbang,” katanya.
Mengulas lanjut, semak parti pula merujuk kepada peranan ahli pembangkang dalam mengawasi kerajaan semasa, sama ada di dalam mahupun di luar DUN.
“Bagaimanapun, apa-apa yang berlaku di peti undi tidak memerlukan sebarang imbangan kerana pilihan raya parti merupakan persaingan menang-kalah, dengan pihak yang menang memperoleh semua kerusi berdasarkan keputusan pengundi yang layak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan prinsip pemisahan kuasa antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 39, Perkara 44 dan Perkara 121.
Perkara 39 memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan, Perkara 44 berkaitan kuasa perundangan Parlimen, manakala Perkara 121 memperuntukkan kuasa kehakiman kepada mahkamah.
“Prinsip pemisahan kuasa itu turut terpakai di Sarawak, selaras dengan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara,” katanya.

