ARTIKEL

Ashwad Ismail, Astro Awani dan RTM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MEDIA sosial bertukar meriah apabila Ashwad Ismail atau Ash diangkat sebagai Ketua Pengarah Penyiaran atau Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang baharu.

Nama Ash diumumkan pada Isnin, pada hari yang sama, beliau mengakhiri khidmatnya sebagai Ketua Pengarang Astro Awani.

Beliau merupakan Ketua Pengarang Astro Awani kedua dilantik ke jawatan tersebut selepas Datuk Suhaimi Sulaiman, yang digantinya.

Ketika dilantik, Ash berusia 41 tahun, menjadikan beliau yang termuda dalam sejarah jabatan yang berusia 79 tahun pada 1 April depan.

Sebelum itu, beliau juga merupakan yang termuda dilantik mengetuai Astro Awani sejak 1 Februari 2021, pada usia 36 tahun, menggantikan Kamarul Bahrin Haron atau Che Kem, yang sebelum itu menggantikan Suhaimi atau panggilannya Che Mi (kemudian Tok Mi), pada 2015.

Penulis mengenali Ash secara rapat bermula pada 2011. Ketika itu beliau hanyalah wartawan Astro Awani, yang dihantar membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Kami hanyalah kenalan biasa sehinggalah saya menyertai Astro Awani sebagai wakil Sarawak tujuh tahun kemudian.

Dan ia berkembang apabila saya diamanahkan untuk terlibat dalam menjayakan Kalendar Sarawak dan Awani Sarawak.

Ash memimpin Astro Awani ketika kontrak Awani Sarawak ditamatkan susulan kemunculan stesen tv tempatan, TVS.

Dan ketika itu, saya diminta untuk kembali memimpin tim Awani Sarawak, setelah empat bulan menerajui Bahagian Berita dan Ehwal Semasa TVS.

Ash kebetulan bersama dalam pasukan perunding Astro, ketika kami merundingi untuk menggunakan platform tersebut untuk menyiarkan TVS.

Ash tidak gelabah apabila kontrak jutaan ringgit itu ditamatkan.

Katanya, Sarawak tetap ‘lubuk penting’ Awani, kerana ia wilayah yang sedang membangun.

Justeru beliau membuat keputusan agar Awani Sarawak ditukar kepada Awani Borneo, dan yakin ia akan memberikan rating yang baik.

Pengalaman, dedikasi dan kepercayaan beliau menjadi apabila hari ini Awani Borneo menjadi antara segmen paling popular daripada semua segmen yang ada dalam saluran Astro Awani, biarpun ia bersiaran pada jam 7.00 malam.

Sesuai dengan usianya, Ash mewakili pemikiran muda dalam kepimpinan media di Astro Awani.

Dan inilah modal besarnya dalam mengekalkan keupayaan saluran itu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.

Dan hari ini kita lihat, saluran ini sentiasa menampilkan wartawan dan penyampai berita yang muda, bijak dan menawan.

Siapa Ashwad?

Anak kelahiran Alor Setar ini merupakan lulusan Sains Politik dan Kerajaan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan pemegang Diploma Pengurusan Penyiaraan daripada Malaysia Institutue of Integrative Media (MIIM) dan menjadi pelajar kepada Che Kem dan Che Mi (yang pada waktu itu tenaga pengajar sambilan).

Di sinilah bakat beliau dikesan Che Mi, apatah lagi dengan wajahnya yang mampu “dijual”.

Menurut Che Mi, kehadiran Ashwad sebagai penyampai berita begitu memberi kesan kepada tontonan Astro Awani, apatah lagi dengan gaya penyampaiannya yang di luar kebiasaan penyampai lain.

Jumlah penonton Astro Awani meningkat dan beliau menjadi tumpuan luar biasa.

Kesan paling menarik, pesona Ash mencairkan banyak wanita.

Hingga ada seorang wanita yang berkunjung ke studio Astro Awani dan enggan pulang selagi tidak berjumpa dengan beliau.

Kerana kebijakannya dalam menyampai berita, Ash kemudian dihantar sebagai delegasi Malaysia dalam Flotila Sumud Global pada 2010, yang menyaksikan kapal yang dinaikinya, MV Mavi Marmara ditahan oleh tentera zionis Israel.

Ini juga antara faktor yang melonjakkan nama beliau di persada kewartawanan negara, dan dilihat sebagai seorang yang berani, dan memiliki wajah wartawan sejati.

Itu antara faktor Ashwad dipilih sebagai pemimpin Astro Awani selepas Che Kem, dan ia berterusan selama lima tahun.

Menurut Ashwad, ketika Che Mi bercadang untuk tidak meneruskan kontraknya bersama TVS, beliau merupakan antara yang dirisik untuk menggantikannya.

Namun beliau menolak dengan baik, kerana ketika itu masih dalam proses membangunkan Astro Awani dengan bentuk baharu, dan memperkasa upaya digitalnya.

Dan ia juga terbukti apabila beliau mengemudi pilihan raya umum lalu dan pilihan raya negeri dengan baik, biarpun ekonomi media utama di negara ini kurang memberangsangkan.

Kerana itulah, Felow Kanan Perkhidamatan Awam di Sekolah Dasar Awam, Lee Kuan Yew dan Profesor Adjung Fakulti Sains Sosial Universiti Islam Selangor ini sekali lagi menjadi pilihan untuk menggantikan Che Mi.

Berada di RTM adalah cabaran baharu bagi anak muda, apatah lagi perlu berhadapan kerenah birokrasi dan disiplin kerajaan.

Tetapi pengalaman sebagai Ketua Pengarang termuda dalam organisasi yang versatil seperti Astro Awani pasti banyak membantu.

Apatah lagi beliau seorang yang amat terbuka, pintar menghadam politik.

Cuma padang permainannya kali ini agak besar.

Semoga Ash terus dapat ‘membakar’ RTM dengan kejayaan, seperti mana beliau menepis tanggapan pesimis dan negatif banyak pihak sebelum ini ketika bersama keluarga Astro.

Insya-Allah, pilihan Che Mi dan menteri Fahmi Fadzil serta PMX tidak tersasar.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan TV dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU