KUALA LUMPUR: HSBC Global Research menjangkakan pertumbuhan dalam pasaran ekuiti akan beralih ke pasaran Asia Selatan dan Asia Tenggara untuk tahun ini dan tahun depan khususnya ke India dan Indonesia.
Ketua Strategi Ekuitinya untuk Asia Pasifik Herald van der Linde berkata pasaran tersebut berprestasi rendah sejak awal tahun, hasil daripada penggiliran peralihan kepada ekuiti China di mana orang ramai mengeluarkan wang dari India dan Indonesia.
“Kami berpendapat bahawa ia sudah beralih arah, justeru kita kini melihat wang kini bergerak terutamanya dari China, Korea Selatan dan Taiwan beralih ke India dan saya menjangkakan Indonesia juga.
“Ia tidak semestinya akan berlaku tetapi saya berpendapat banyak perkara ada kaitan dengan pasaran tawaran awam permulaan (IPO), Indonesia menjadi negara paling aktif setakat ini melebihi Hong Kong dan Amerika Syarikat (AS).
“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi ini bermakna orang ramai perlu mengetepikan wang dan bersedia untuk IPO tersebut, antara negara yang melaksanakannya ialah India dan Indonesia dan mungkin di negara-negara lain,” katanya semasa sesi webinar mengenai Prospek Asia untuk separuh kedua 2023 semalam.
Bagi Malaysia, Linde berkata HSBC Global Research secara amnya agak positif terhadap prospek ekonomi Malaysia tetapi melihat ekuiti Malaysia agak rendah tetapi stabil.
“Kami sebenarnya tidak bersikap negatif terhadap ekuiti Malaysia tetapi mendapati pasaran lain mempunyai sedikit peningkatan.
“Harga ekuiti Malaysia juga tidak terlalu mahal tetapi ia tidak begitu menyerlah seperti Indonesia, India atau China pada masa ini.
“Unjuran indeks semasa untuk FBM KLCI ialah 1,490 menjelang akhir tahun ini dan ia lebih rendah sedikit daripada jangkaan sebelumnya pada 1,570,” katanya.
Menurut nota penyelidikan tambahan kepada webinar itu, HSBC Global Research berkata Malaysia, sebagai pendahulu dalam pertumbuhan di Asia dengan mencatat pertumbuhan tinggi dalam tempoh 26 tahun yang mengagumkan sebanyak 8.7 peratus telah meneruskan pemulihan kukuhnya pada 2023 dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku pertama merekodkan pertumbuhan 5.6 peratus, sekali lagi mengatasi jangkaan pasaran.
Daya tahan ekonomi negara sebahagian besarnya disebabkan oleh penggunaan swasta yang kukuh, meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun dan menerajui rantau ini daripada segi pemulihan dalam jualan runcit terutamanya jualan kereta.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pertukaran Asing (FX) Asia HSBC Joey Chew berpendapat mata wang Asia telah gagal melanjutkan pemulihannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang berlaku dalam dua bulan terakhir tahun 2022.
Bagi ringgit, Chew berkata mata wang itu dijangka mengalami tekanan berbanding dolar AS.
“Tahun lepas, kami melihat imbangan dagangan yang sangat kukuh tetapi ringgit tidak mendapat manfaat daripada itu.
“Dengan imbangan perdagangan yang berpotensi menyusut sedikit pada tahun ini akibat daripada harga komoditi tidak meningkat lagi dan kemelesetan elektronik di peringkat global, ia akan menjadi satu cabaran untuk ringgit,” katanya. – BERNAMA