KUCHING: Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) mengumumkan calon bagi 17 kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) yang dijadual pada 18 Disember ini.
Presiden Aspirasi Lina Soo berkata, 15 daripada mereka merupakan muka baharu dan dua calon lama.
“Bagi calon muka lama adalah saya sendiri yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan dan Pengerusi Aspirasi Buln Ribos akan bertanding di Serembu.
“Manakala, calon muka baharu adalah Chan Chee Hiong (Pending), Leong Shaow Tung (Batu Lintang), Tan Kok Chiang (Kota Sentosa), Chong Siew Hung (Mambong), Simon Jangan (Kedup), Jame Nyuking (Bukit Semuja) dan Wong Chin King (Repok), Ngelayang Unau (Machan), Lau Kiu Ming (Bukit Assek), Josephine Lau Kiew Peng (Dudong), Loh Wui Ping (Pelawan), Chieng Lea Phing (Tanjong Batu), Fong Pau Teck (Batu Kawah), Hani Jaraee (Piasau) dan Chin Fen Siong (Pujut),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Penyerahan Watikah kepada calon-calon Aspirasi yang bakal bertanding pada PRN-12, di Hotel Telang Usan, di sini, hari ini.
Lina menambah mereka mungkin mempunyai senarai tambahan calon dan ia akan diumumkan pada saat akhir.
Aspirasi sebelum ini dikenali sebagai Parti Reformasi Negeri (Star) yang telah ditubuhkan pada 9 Oktober 1996 oleh mendiang Dr Patau Rubis.
Parti ini juga pernah bertanding pada PRN-11 pada 2016 namun kalah di semua 11 kerusi yang ditandingi.



