ASRAMA bagi sekolah rendah dan menengah di kawasan luar bandar amat penting untuk pelajar. Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah dalam satu majlis berkata, asrama menjamin pendidikan mereka terutama yang tinggal di kawasan luar bandar agar mereka tidak tercicir daripada mengikuti persekolahan.
“Sekiranya tiada asrama, mungkin ramai pelajar kita yang tidak mahu ke sekolah disebabkan jarak rumah dengan sekolah yang agak jauh. “Ini terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah pengangkutan,” katanya.
FAKTOR PENGANGKUTAN
Tidak dinafi kan di kawasan Mukah masih banyak sekolah yang menggunakan pengangkutan air.
Sekiranya pelajar berulangalik ke sekolah setiap hari, ini mendatangkan risiko kerana kita tidak tahu apakah yang berlaku dalam perjalanan.
Selain itu, ujar Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dalat, pengangkutan antara beban kewangan bagi ibu bapa yang berpendapatan rendah.
Dengan adanya asrama, ia membantu ibu bapa dari segi bayaran pengangkutan dan makanan anak — disediakan di asrama.
Penulis juga merupakan bekas pelajar asrama kerana jarak rumah pada ketika itu agak jauh.
Dalam sehari, asrama menyediakan makanan sebanyak lima kali iaitu sarapan, waktu rehat, tengah hari, petang dan malam. Ini menunjukkan bahawa asrama bukan sahaja menyediakan tempat tinggal untuk pelajar, malah makanan juga turut diambil berat oleh pihak sekolah.
Di samping itu, pelajar juga mempunyai rutin harian yang terurus kerana selepas waktu persekolahan, mereka berpeluang untuk ke perpustakaan, mengulang kaji pelajaran atau beriadah.
Tentunya, rutin harian begini memudahkan mereka untuk fokus dalam pelajaran kerana mempunyai banyak masa mengulang kaji pelajaran.
BERDIKARI
Sekiranya mereka yang mempunyai jarak rumah dengan sekolah agak jauh, tentunya rutin tersebut tidak dapat dilakukan kerana kekangan masa.
Sehubungan itu, menjadi pelajar asrama juga mendorong seseorang untuk berdikari dalam semua aspek termasuklah kebersihan diri.
Asrama kebiasaanya menganjurkan pertandingan kebersihan dan keceriaan.
Ia secara tidak langsung menjadikan seseorang mengutamakan kebersihan sekiranya ingin memenangi pertandingan tersebut.
Bukan itu sahaja, pelajar juga belajar cara mencuci pakaian, mengemas katil, melipat pakaian dan sebagainya sekiranya berada di asrama kerana pengurusan terletak pada diri sendiri.
Berbanding di rumah, kita mempunyai ahli keluarga lain untuk membantu menguruskan pakaian sekiranya sibuk.
Justeru, asrama di kawasan Mukah khususnya perlu diberi perhatian dari segi fasiliti dan kemudahannya bagi memastikan pelajar tinggal dengan selesa dan selamat.



