Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, perjalanan pulang kadangkala menuntut kesabaran apabila pengguna jalan raya terpaksa menunggu feri untuk meneruskan perjalanan ke destinasi.
Bagi penduduk di kawasan yang bergantung pada perkhidmatan feri, kesesakan di jeti ketika musim perayaan bukan perkara asing, malah ada yang terpaksa menunggu sehingga enam jam sebelum mendapat giliran untuk menyeberang.
Keadaan itu tentunya lebih mencabar bagi mereka yang membawa anak kecil, warga emas atau ahli keluarga yang memerlukan perhatian khusus sepanjang perjalanan.
Bagi anak perantau, masa yang dihabiskan di jalan raya dan di jeti turut mengurangkan waktu bersama-sama keluarga, sedangkan kepulangan ketika Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak atau Krismas menjadi peluang untuk berkumpul setelah sekian lama berjauhan.
Dalam keadaan ini, pembinaan jambatan di Sarawak membawa makna yang lebih besar daripada sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan kerana infrastruktur itu mampu memendekkan perjalanan dan memudahkan pergerakan penduduk.
Dengan adanya jambatan, pengguna jalan raya dapat merancang perjalanan dengan lebih eksibel tanpa terlalu bergantung pada jadual feri, sekali gus memberikan keselesaan terutama ketika jumlah kenderaan meningkat pada musim perayaan.
Sehubungan itu, perubahan ini bukan sahaja memberikan kelegaan kepada mereka yang pulang ke kampung, malah membolehkan lebih banyak masa diluangkan bersama-sama keluarga tanpa perlu terlalu memikirkan perjalanan yang panjang.
Kepentingan jambatan juga melangkaui musim perayaan kerana kemudahan tersebut membantu penduduk berulangalik untuk bekerja, menghantar anak ke sekolah serta mendapatkan rawatan kesihatan dengan lebih mudah.
Bagi masyarakat luar bandar, jaringan perhubungan yang lebih baik turut membuka peluang kepada perkembangan ekonomi setempat melalui urusan perniagaan, penghantaran barangan dan akses yang lebih mudah kepada pasaran.
Di Sarawak yang mempunyai rangkaian sungai luas serta penempatan yang dipisahkan oleh bentuk muka bumi, pembinaan jambatan menjadi antara langkah penting untuk memperkukuh hubungan antara kawasan dan meningkatkan kemudahan hidup masyarakat.
Walau bagaimanapun, kewujudan jambatan baharu tidak bermakna perkhidmatan feri boleh dihentikan sertamerta kerana kemudahan itu masih memainkan peranan penting di kawasan yang belum mempunyai laluan alternatif.
Setiap kawasan mempunyai keperluan pengangkutan yang berbeza, justeru keputusan mengenai operasi feri perlu dibuat berdasarkan keadaan setempat dan keperluan penduduk yang masih bergantung pada perkhidmatan berkenaan.
Bagi sesetengah lokasi, jambatan mungkin menjadi pilihan yang lebih praktikal, manakala feri kekal sebagai penghubung utama bagi masyarakat di kawasan lain yang belum mempunyai kemudahan serupa.
Sehubungan itu, sebarang perubahan terhadap operasi feri perlu dirancang secara teliti bagi memastikan kepentingan pengguna tidak terjejas dan kemudahan pengangkutan terus tersedia sepanjang tempoh peralihan.
Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah memindahkan feri yang tidak lagi diperlukan di sesuatu lokasi ke kawasan lain yang masih memerlukan perkhidmatan penyeberangan sungai.
Langkah itu membolehkan aset sedia ada terus dimanfaatkan, di samping membantu memenuhi keperluan penduduk di kawasan yang belum menikmati kemudahan perhubungan melalui jambatan.
Pendekatan sedemikian juga mencerminkan kepentingan pengurusan sumber secara berhemah kerana pembangunan infrastruktur baharu perlu disertai perancangan yang memastikan kemudahan sedia ada tidak dibazirkan.
Di samping itu, bagi mereka yang sekian lama bergantung pada feri, pembinaan jambatan memberikan harapan kepada perjalanan yang lebih lancar, sekali gus mengurangkan tekanan ketika menempuh perjalanan jauh untuk pulang ke kampung.
Kemudahan itu juga membolehkan masyarakat menguruskan masa dengan lebih baik, khususnya ketika musim perayaan apabila peluang untuk berkumpul bersama keluarga amat bermakna.
Namun, kemajuan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah jambatan yang dibina atau panjang jalan yang disiapkan semata-mata, sebaliknya melalui manfaat sebenar yang dinikmati oleh penduduk.
Justeru, setiap projek jambatan perlu disokong oleh rangkaian jalan raya yang baik, penyelenggaraan berterusan dan perancangan pengangkutan yang mengambil kira keperluan masyarakat setempat.
Dalam masa yang sama, perkhidmatan feri yang masih diperlukan perlu terus diuruskan dengan cekap, manakala kemudahan yang tidak lagi digunakan di sesuatu lokasi boleh dipertimbangkan untuk dimanfaatkan di kawasan lain.
Oleh itu, pembinaan jambatan bukan sekadar memendekkan jarak antara dua kawasan, tetapi turut mendekatkan masyarakat dengan peluang pekerjaan, kemudahan asas dan kehidupan yang lebih selesa.
Lebih daripada itu, kemudahan berkenaan membawa makna tersendiri kepada anak perantau yang mahu pulang ke pangkuan keluarga tanpa perlu berdepan perjalanan yang terlalu memenatkan.
Apabila musim perayaan kembali menjelang, perjalanan pulang seharusnya menjadi pengalaman yang menggembirakan, dan pembangunan jambatan yang dirancang dengan baik bersama pengurusan feri yang berkesan mampu membantu merealisasikan harapan itu demi kesejahteraan rakyat Sarawak.



