Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar.
Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk mendidik anak-anak supaya memiliki sifat sabar, berdisiplin, bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa.
Dalam Islam, kejayaan tidak datang hanya dengan mengharapkan keputusan yang baik, sebaliknya perlu disertai usaha yang bersungguhsungguh serta pergantungan kepada Allah SWT.
Ibu bapa dan guru memainkan peranan besar dalam memberikan motivasi kepada anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan.
Anak-anak perlu diajar bahawa peperiksaan bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti secara berlebihan.
Sebaliknya, peperiksaan merupakan peluang untuk mereka membuktikan kesungguhan dalam menuntut ilmu dan memperbaiki diri.
RAJIN BELAJAR TANGGA KEJAYAAN
Antara persediaan utama menghadapi peperiksaan ialah rajin belajar.
Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha.
Anak-anak perlu mempunyai jadual belajar yang teratur, mengulang kaji pelajaran, membuat latihan dan bertanya kepada guru apabila tidak memahami sesuatu perkara.
Allah SWT berfirman: “Dan sesungguhnya manusia tidak memperoleh selain apa-apa yang diusahakannya.” (Surah al-Najm: 39) Ayat ini mengajar usaha merupakan perkara yang sangat penting.
Seorang pelajar yang ingin berjaya perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh.
Tidak wajar seseorang hanya mengharapkan doa ibu bapa atau keberkatan guru sedangkan dirinya sendiri tidak mahu belajar.
Rasulullah SAW juga bersabda: “Bersungguhsungguhlah terhadap perkara yang bermanfaat bagimu, mintalah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu berasa lemah.” (Hadis riwayat Muslim) Hadis ini sangat sesuai dijadikan pedoman oleh para pelajar.
Mereka hendaklah bersungguh-sungguh menuntut ilmu, memohon pertolongan daripada Allah dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan kesukaran.
Selain belajar, anak-anak juga perlu menjaga adab sebagai penuntut ilmu.
Menghormati guru, menjaga solat, menghormati ibu bapa dan menjaga kesihatan merupakan sebahagian daripada persediaan menghadapi peperiksaan.
SENTIASA BERDOA KEPADA ALLAH
Usaha perlu berjalan seiring dengan doa.
Sebagai seorang Muslim, kita percaya segala kejayaan hakikatnya datang daripada Allah SWT.
Oleh itu, selepas berusaha bersungguh-sungguh, anakanak hendaklah sentiasa berdoa agar Allah memberikan kefahaman, ketenangan dan kemudahan ketika menjawab soalan.
Allah SWT berfirman: “Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu.” (Surah Taha: 114) Doa ini menunjukkan seorang Muslim sentiasa memohon agar Allah menambahkan ilmu kepadanya.
Semakin banyak ilmu yang dimiliki, semakin seseorang menyedari bahawa ilmu Allah SWT jauh lebih luas.
Allah SWT juga berfirman: “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan memperkenankan doa kamu.” (Surah Ghafir: 60) Anak-anak perlu dididik supaya tidak hanya berdoa ketika peperiksaan sudah hampir.
Sebaliknya, doa hendaklah dijadikan amalan setiap hari.
Mohonlah kepada Allah agar dipermudahkan urusan memahami pelajaran, diberikan ketenangan hati, dikurniakan ingatan yang baik dan diberikan kejayaan yang membawa manfaat.
Namun begitu, doa bukanlah alasan untuk meninggalkan usaha. Islam mengajar kita supaya berusaha terlebih dahulu, kemudian bertawakal kepada Allah.
Keputusan peperiksaan pula hendaklah diterima dengan hati yang reda. Jika memperoleh keputusan yang baik, bersyukurlah. Jika belum mencapai sasaran, jangan berputus asa kerana kegagalan dalam satu peperiksaan tidak bermakna kegagalan dalam kehidupan.
Kesimpulannya, persediaan menghadapi peperiksaan perlu dibina atas dua perkara utama, iaitu usaha yang bersungguhsungguh dan doa yang berterusan kepada Allah SWT.
Didiklah anak-anak agar mengejar kecemerlangan akademik tanpa melupakan kecemerlangan akhlak serta hubungan dengan Allah.
Mudah-mudahan ilmu yang dipelajari menjadi ilmu yang bermanfaat dan kejayaan yang diperoleh menjadi jalan untuk mereka menjadi insan yang baik serta berguna kepada agama, bangsa dan negara.



