SEPTEMBER lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) mencadangkan pembinaan enam lorong memotong di sepanjang Jalan Persekutuan FT803 (Jalan Bintulu-Bakun) sebagai langkah meningkatkan keselamatan dan kelancaran pergerakan pengguna di laluan berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan itu melibatkan pembinaan lorong memotong di enam lokasi strategik dengan panjang keseluruhan kira-kira 12 kilometer dan dianggarkan menelan kos RM216 juta.
Lokasi berkenaan ialah sekitar KM16, KM39, KM49, KM75, KM106 dan KM109, dengan pemilihan lokasi mengambil kira keadaan jalan yang berbukit dan berselokoh serta pergerakan kenderaan berat yang lebih perlahan.
Nanta menambah, cadangan itu melebarkan keseluruhan jalan kepada dua lorong penuh dipertimbangkan, namun memerlukan kos yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, pembinaan lorong memotong dilihat sebagai langkah awal yang boleh dilaksanakan.
Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM119 juta bagi menaik taraf jajaran sepanjang 17.1 kilometer yang dikenali sebagai Red Line (jajaran pendek) di Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
Lebuh Raya Pan Borneo merupakan sebahagian daripada rangkaian jalan Persekutuan di Sarawak.
Projek pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya itu diletakkan di bawah pengurusan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya.
Berdasarkan datapan semasa, sebahagian besar pakej utama, termasuk Fasa 1 di Sarawak, telah siap dan dibuka secara berperingkat kepada pengguna.
Kerja menaik taraf jajaran tambahan serta kerja jangka pendek membabitkan Red Line dijangka siap sekitar awal 2028.
Fasa 2 yang melibatkan Limbang dan Lawas, iaitu jajaran yang menghubungkan kedua-dua kawasan berkenaan tanpa melalui Brunei, pula dijangka siap sepenuhnya sekitar 2028.
Sebahagian besar jajaran kini dinaik taraf kepada jalan berkembang empat lorong bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa, selamat dan bebas tol.
Dalam pada itu, pada 16 September lalu, saya memandu pulang ke Miri menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo kerana mempunyai urusan keluarga.
Memandangkan cuti berkenaan dibuat secara mengejut, saya tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan jalan darat kerana harga tiket penerbangan ketika itu sangat mahal.
Justeru, saya memandu sendiri dari Kuching ke Betong.
Saya bertolak dari Kuching pada jam 4.00 pagi dan tiba di Betong kira-kira jam 7.30 pagi.
Perjalanan dari Kuching ke Betong pada awal pagi itu berjalan lancar.
Aplikasi Waze membawa saya melalui laluan dari Kota Samarahan sebelum memasuki Jalan Kuching-Serian dan seterusnya ke Lebuh Raya Pan Borneo.
Masih jelas dalam ingatan saya, ketika melalui satu laluan di Kota Samarahan, terdapat beberapa kawasan yang agak gelap kerana tiada lampu jalan.
Oleh itu, saya terpaksa memperlahankan kenderaan, tambahan pula laluan berkenaan merupakan jalan satu lorong bagi setiap hala.
Bagaimanapun, sebaik sahaja memasuki Jalan Kuching-Serian, pemanduan menjadi lebih lancar sehingga saya tiba di Betong kira-kira jam 7.30 pagi.
Dari Betong, saya meneruskan perjalanan ke Miri kira-kira jam 10.00 pagi bersama keluarga abang.
Berdasarkan datapan, jarak perjalanan dari Betong ke Miri adalah kira-kira 560 hingga 594 kilometer, dengan tempoh pemanduan sekitar tujuh hingga lapan jam bergantung pada kelajuan pemanduan dan keadaan perjalanan di Lebuh Raya Pan Borneo.
Kami tiba di Miri kira-kira jam 8.00 malam selepas berhenti di beberapa lokasi sepanjang perjalanan.
Walaupun saya bukan pengguna tetap Lebuh Raya Pan Borneo, namun apabila mengenang kembali pengalaman sepanjang perjalanan pulang menggunakan lebuh raya itu, ada satu perkara yang saya rasakan masih memerlukan penambahbaikan, iaitu kemudahan lampu jalan.
Memandu di Lebuh Raya Pan Borneo pada waktu siang tidak menimbulkan banyak masalah meskipun kenderaan pelbagai saiz bergerak bertali arus.
Bagaimanapun, apabila menjelang malam, perjalanan kami menjadi sedikit kurang lancar kerana terdapat beberapa laluan yang tidak dilengkapi lampu jalan.
Apabila hujan turun sepanjang perjalanan, pemanduan menjadi lebih mencabar.
Abang perlu lebih fokus, manakala saya pula perlu lebih berwaspada melihat keadaan di kiri dan kanan jalan.
Menyentuh mengenai lampu jalan, kemudahan itu merupakan sistem pencahayaan yang dipasang di tepi jalan untuk membantu meningkatkan keselamatan pengguna, khususnya pada waktu malam.
Antara kepentingannya utamanya ialah meningkatkan keterlihatan.
Lampu jalan membantu pemandu, penunggang motosikal dan pejalan kaki melihat laluan, papan tanda serta halangan dengan lebih jelas pada waktu malam.
Kemudahan ini juga membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya serta melindungi pejalan kaki daripada bahaya di kawasan gelap.
Selain itu, pencahayaan jalan yang baik dapat membantu mencegah kegiatan jenayah seperti samun dan pecah rumah dengan menerangi lorong serta kawasan sunyi, sekali gus memberikan rasa lebih selamat kepada orang ramai yang perlu bergerak atau pulang dari tempat kerja pada waktu malam.
Sehubungan itu, saya berharap setiap projek naik taraf Lebuh Raya Pan Borneo dan jalan-jalan lain di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang dirancang oleh kerajaan.
Kerja menaik taraf jalan perlu diteruskan bagi meningkatkan keselamatan, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta merangsang ekonomi setempat.



