ASTON Villa mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah membenam Manchester United 2-1 pada aksi di gelanggang sendiri semalam.
Ia merupakan kemenangan ke-10 Villa berturut-turut. Morgan Rogers muncul wira Villa apabila meledakkan dua jaringan, manakala gol tunggal MU disumbangkan oleh Cunha.
Namun pengendalinya, Unai Emery memilih untuk merendah diri dengan mendakwa pasukannya tidak mampu mengatasi pengalaman dan kualiti Arsenal serta City, walaupun sudah menewaskan keduaduanya di laman sendiri musim ini.
“Kami bukan pencabar,” kata Emery.
“Memang kami menewaskan Arsenal dan Manchester City di sini, tetapi mereka mempunyai kelebihan besar dari segi taktikal dan pemain bertaraf tinggi.
“Kami juga ada kualiti, tetapi untuk menjadi pencabar di hadapan mereka bukan realiti kami,” katanya.
Namun pendekatan merendah diri Emery tidak mampu menutup hakikat sebenar.
Villa kini menikmati catatan kemenangan terbaik dalam semua pertandingan sejak 1914, ketika mereka mencatat 11 kemenangan berturut-turut.
Mereka juga meraih tujuh kemenangan berturut-turut liga utama buat kali pertama sejak menamatkan saingan di tempat kedua di bawah kendalian Graham Taylor pada musim 1989-90.
Emery turut menjadikan Villa Park sebagai kubu kebal, dengan hanya satu kekalahan liga di laman sendiri sepanjang 2025, paling sedikit berbanding pasukan lain.
Kebangkitan Villa dalam perebutan gelaran lebih mengagumkan memandangkan mereka bermula dengan kempen liga terburuk dalam tempoh 28 tahun, hanya mengutip dua mata dan satu gol daripada lima perlawanan awal.
“Sudah tentu kami konsisten sejak lebih kurang tiga tahun lalu dan berjaya berada di posisi Eropah, tetapi kami perlu terus merendah diri,” kata Emery.
“Kami perlu faham bagaimana untuk mendapatkan mata seperti yang kami lakukan. Kami mahu mengekalkan tahap sama dengan menjadi bijak, kompetitif, konsisten dan berdisiplin,” katanya.



