Atlet perlu asah kembali momentum

PENULARAN wabak Covid19 di seluruh dunia ketika ini turut memberi tempias kepada atlet-atlet sukan di negara ini. Usaha untuk meningkatkan serta mengekalkan momentum pencapaian mereka kini terganggu, khasnya atlet acara berpasukan, trek balapan dan padang.

Ketika ini, boleh dikatakan semua kejohanan sukan terpaksa ditangguhkan. Meskipun masing-masing diberikan modul latihan dan dipantau oleh jurulatih untuk latihan di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk menggunakan teknologi terkini seperti aplikasi WhatsApps, Zoom dan Skype, namun ia diyakini tidak dapat meningkatkan dan mengekalkan kemahiran para atlet ini kerana modul ini lebih kepada latihan kecergasan fizikal.

Antara sukan yang terjejas teruk sepanjang tempoh PKP termasuklah sukan bola sepak, tenis, badminton, olahraga, golf, hoki, ragbi dan terjun. Bagi sukan yang melibatkan latihan sepenuh masa di stadium, dewan, gelanggang dan pusat latihan, ia amat memberi kesan kepada atlet untuk mengekalkan momentum mereka.

Bagi latihan sukan individu dalam disiplin mempertahankan diri seperti muaythai, karate, taekwando, tinju dan sebagainya, ia tidak terlalu terjejas kerana mereka masih dapat meningkatkan kemahiran walaupun berada di rumah sepanjang tempoh PKP.

Pun begitu, latihan mereka juga turut terjejas kerana tidak dapat berlatih bersama-sama jurulatih dan hanya berpandukan sidang video.

Selain itu, penangguhan pertandingan sukan berprestij seperti liga bola sepak, perlumbaan Grand Prix Formula Satu, Olimpik Tokyo, Kejohanan Badminton China Master, Sukan Malaysia dan pertandinganpertandingan lain turut menyuramkan prestasi atlet.

Ada telah membuat persediaan awal. Malah ia turut menjejaskan pendapatan pemain apabila gaji mereka terpaksa dipotong bagi meringankan beban kewangan pasukan dan pihak pengurusan apabila semua pertandingan ditangguhkan.

Antara sukan yang terpaksa memotong gaji pemain ialah sukan bola sepak seperti pasukan UKM FC yang memotong 15 hingga 20 peratus gaji pemain manakala pasukan JDT memotong 33 peratus.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, persiapan para atlet turut terjejas akibat penangguhan kejohanan sukan di dalam dan luar negara. Katanya, ini termasuk penyertaan ke Sukan Olimpik Tokyo yang terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan.

“Seramai 12 atlet kita layak ke temasya Sukan Olimpik di Tokyo dan 23 orang lagi sedang berusaha melayakkan diri ke sukan berkenaan,” katanya pada 14 Mac lepas. Ketua Jurulatih Kelab Olahraga The Flying Dayak, Watson Nyambek mengakui sukar untuk menilai prestasi atlet olahraganya kerana atletnya tidak berlatih di trek dan hanya melakukan latihan kecergasan fizikal.

Beliau berkata, latihan penilaian kepantasan dan kekuatan kelajuan hanya dapat dilakukan di atas trek. Latihan dari rumah hanya mampu dinilai sebanyak 60 hingga 70 peratus berbanding trek 90 peratus.

Selain itu, Pengurus Pasukan Tenis Sukma Sarawak 2020, Stevie Din mengaku bahawa prestasi atlet Sukmanya terganggu apabila tidak dapat menjalani latihan di gelanggang tenis.

Jelasnya, sukan yang melibatkan penggunaan raket seperti tenis dan badminton amat memerlukan latihan di gelanggang untuk mempertajamkan kemahiran pemain, biarpun terpaksa akur akan PKP demi keselamatan para atlet dan jurulatih.

“Penilaian pemain hanya dapat dilakukan selepas tamat tempoh PKP serta negara telah pulih sepenuhnya, manakala atlet kembali berlatih seperti sediakala,” ujarnya. Kesimpulannya, meskipun kemahiran dan kecergasan atlet terjejas kerana tidak dapat melakukan latihan bersama-sama jurulatih masing-masing, mereka tetap akur dengan PKP demi keselamatan.

Dan untuk itu, mereka terus kekal berada di rumah. Kemahiran atlet perlu dikekalkan, digilap semula serta ditingkatkan setelah negara pulih sepenuhnya daripada Covid-19. Ia hanya berlaku selepas mereka kembali menjalani latihan seperti biasa di pusat latihan masing-masing.

Kita bagaimanapun tidak dapat menjangkakan bila negara kita akan sifar daripada wabak berkenaan tetapi sekurang-kurangnya atlet kita diberi modul latihan untuk kekal cergas oleh jurulatih masing-masing sebelum bermulanya kejohanan-kejohanan sukan selepas wabak ini berakhir.

Yang penting, psikologi mereka perlu mantap dan motivasi melangit tinggi untuk kembali cemerlang, selepas momentum terjejas akibat kawalan pergerakan ini.