PASUKAN Boccia Sarawak muncul Juara Keseluruhan dalam Pertandingan Boccia Litar 2 Kebangsaan 2023 yang diadakan pada 3 hingga 7 November lepas di Pusat Kecemerlangan Sukan Kampung Pandan, Pulau Pinang.
Pengurus Pasukan Boccia Sarawak, Chi Poh Yung berkata, pasukan itu meraih empat pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.
“Kejayaan ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan kami dalam persiapan ke Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 yang akan diadakan di Kuching tahun depan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Chi berbangga dengan pencapaian atlet Sarawak terutamanya Tay Boon Seng, Shierviana Mathew dan Dale Adelric Teri kerana dapat mengalahkan atlet kebangsaan lain.
Katanya, pertandingan tersebut melibatkan 11 atlet Sarawak dengan dua di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dengan lapan atlet lelaki dan tiga atlet wanita.
“Sebanyak lapan acara dipertandingkan dan Sarawak hanya menyertai enam acara iaitu BC1 Lelaki , BC1 Perempuan, BC2 Lelaki, BC3 Lelaki, BC3 Perempuan dan BC4 Lelaki.
“Kesemua acara tersebut meraih pingat emas dalam kategori BC1 Lelaki; BC1 Wanita; BC2 Lelaki dan BC4 Lelaki.
“Sementara Sarawak turut merangkul pingat perak dalam kategori BC1 Wanita; BC3 Wanita dan dan BC1 Lelaki manakala pingat gangsa dalam kategori BC2 Lelaki,” jelasnya.
Sehubungan itu, Chi mendedahkan hasrat mereka untuk mencari lebih ramai bakat muda bagi memastikan kesinambungan kegemilangan atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) ke peringkat kebangsaan.
Chi turut menggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak Palsi Serebrum (CP) untuk tampil menghubungi pihaknya supaya keadaan anak-anak mereka dapat dinilai seterusnya disesuaikan dalam sukan Boccia.
Ibu bapa boleh menghubungi Chi di talian 019-2288419 atau Jurulatih Pasukan Sarawak Boccia, Honseng Andrias di talian 013-826 1444 untuk maklumat lanjut.






