LINGGA: Pertandingan memancing sebagai acara pembuka Regata Lingga 2025 menyaksikan Attamimi Ismawi muncul johan dengan membawa pulang hadiah utama wang tunai RM8,000 selepas menewaskan kira-kira 70 peserta lain yang turut sama mencuba nasib.
Naib johan disandang Othman Jaw yang menerima hadiah RM1,500, manakala tempat ketiga dimenangi Aziz Ayu dengan hadiah RM1,000.
Hadiah disampaikan oleh Pegawai Daerah Lingga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Regata Lingga, Frank Lani.
Menurut beliau, program komuniti seperti pertandingan memancing memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan serta mempromosikan potensi pelancongan sukan di daerah ini.
“Jika dilihat, ia mendapat sambutan meluas sekali gus mampu menjadi pemangkin kepada penglibatan masyarakat dalam meningkatkan identiti daerah sebagai destinasi aktiviti rekreasi pilihan.
“Acara ini bukan sahaja menguji kemahiran peserta, malah berjaya mengeratkan hubungan komuniti serta mempromosikan Lingga sebagai destinasi pelancongan sukan yang berpotensi,” katanya ketika menyempurnakan majlis penangguhan pertandingan semalam.
Frank turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan penganjur atas komitmen menjayakan program tahunan berprestij itu.
Selain pertandingan memancing, Pertandingan Dart Terbuka Sarawak turut berlangsung sebagai acara pembuka tirai.
Beliau mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke Lingga bagi memeriahkan pelbagai acara sukan air dan program komuniti sepanjang 12 hingga 14 Disember depan.




