ASAJAYA: Penglibatan aktif ibu bapa dalam pendidikan anak-anak antara fokus Karnival Hal Ehwal Murid (HEM) 2026 anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Moyan Laut yang mendapat sambutan menggalakkan.
Karnival berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Moyan Laut pada 26 Oktober lalu, menampilkan ceramah motivasi keibubapaan disampaikan motivator terkenal — Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No. 2, Dr Nasir Len.

Ceramah berkenaan memberi penekanan terhadap peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak, khususnya membentuk sahsiah serta menyokong kecemerlangan akademik mereka.
Guru Besar SK Moyan Laut, Mohd Kassim berkata, pendekatan menggabungkan ibu bapa dan murid dalam satu sesi ceramah berjaya mencapai objektif program.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas kerjasama menjayakan penganjuran karnival berkenaan.
Program seumpama itu wajar diteruskan kerana memberi manfaat kepada murid dan ibu bapa, khususnya memperkukuh hubungan antara pihak sekolah dengan komuniti setempat.
/tamat/






