KUCHING: Pelancong ke Sarawak hanya perlu membeli satu pakej perjalanan menggabungkan tambang AirBorneo dan Autonomous Rapid Transit (ART) terus ke destinasi penginapan, susulan perancangan kerajaan mewujudkan sistem pengangkutan moden bersepadu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, subsidi kerajaan penting bagi mengekalkan tambang ART pada kadar rendah kerana tiada sistem pengangkutan awam di dunia mampu beroperasi tanpa sokongan kerajaan.
“Pendekatan ini memudahkan pergerakan pelancong dan menjadi sebahagian usaha mentransformasikan sistem pengangkutan awam di Greater Kuching agar lebih moden, cekap, selamat dan mampan,” katanya selepas Majlis Penamaan Stesen Nombor 7, di sini hari ini.


Kerajaan akan menanggung kos operasi tetap manakala sumber pendapatan diperkukuh menerusi inisiatif komersial seperti hak penamaan stesen, pembangunan berorientasikan transit (TOD), pengiklanan dan pembangunan hartanah.
“Kita mahu lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam. Hasil daripada aktiviti komersial pula membantu memperkukuh kelangsungan sistem ini,” ujarnya.
Mengenai integrasi AirBorneo dan ART, Abang Johari berkata penumpang hanya perlu menambah sedikit bayaran kepada tiket AirBorneo dan terus menggunakan ART ke hotel tanpa pembayaran berasingan.
Semua kenderaan ART akan dilengkapi kamera keselamatan yang dipantau dari pusat kawalan, selain sistem pembayaran tanpa tunai menggunakan kod QR dan jadual perjalanan sistematik.
Penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga ART membuktikan komitmen Sarawak membangunkan sistem pengangkutan rendah karbon yang lebih bersih dan mesra alam.
Terdahulu, Abang Johari menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian penamaan Stesen Nombor 7 sebagai The NorthBank Ibraco antara Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa dan Pengarah Urusan Kumpulan Ibraco Berhad, Datuk Chew Chiaw Han.






