Ayam pedas Korea terbang ke Kuching

KUCHING: Berkecimpung dalam dunia perniagaan pada usia muda bukanlah satu masalah besar bagi belia masa kini.

Hal ini kerana ramai golongan muda yang semakin berani menceburi bidang keusahawanan sebagai sumber pendapatan mereka.

Menurut Siti Nur Azelina, 24 dan rakan niaga Abang Muhd Syafiq 23, meskipun bidang perniagaan bukan sesuatu yang mudah namun ia bukan penghalang untuk mereka meneruskan minat dalam meluaskan bidang perniagaan yang dijalankan.

“Di sini, kami menjual ayam goreng Korea atau KCSpicy dan Ayam Korea Street yang bertapak di Kuching sejak Mac tahun lalu.

“Kami bersyukur kerana ia mendapat sambutan daripada pelanggan sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Menurut Azelina, sejak diberhentikan kerja pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, dia bertekad untuk menjalankan perniagaan makanan untuk menjana pendapatan.

Beliau menjelaskan, tempoh sukar yang dilalui sepanjang PKP tersebut menaikkan semangatnya untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Pada masa itu, saya memang kehilangan punca pendapatan kemudian menggunakan hasil gaji terakhir untuk memulakan perniagaan. “Berkat dorongan dan sokongan daripada ibu, maka bermulalah perniagaan ini dengan bermodalkan RM100 untuk jualan pertama,” katanya lagi.

Azelina turut mendedahkan perniagaannya kini telah beroperasi sepenuhnya di Metrocity Matang berbanding sebelumnya yang hanya bergantung dengan perniagaan dalam talian. Mengulas mengenai pendapatan yang diperolehi, Azelina mendedahkan, setakat ini ia agak memuaskan berdasarkan permintaan pelanggan.

“Setakat ini, ia mendapat sambutan menggalakkan malah turut mendapat perhatian dari negeri lain untuk membuka cawangan di situ.

“Meskipun perniagaan mengalami pasang surutnya sepanjang wabak yang melanda, namun ia tetap berjalan seperti biasa mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Perniagaan ayam goreng yang menawarkan lima perisa utama iaitu Signature Spicy, Spicy Chixzy, Golden Nestum, Volcano 2xspicy dan Honey Butter turut mengadakan tawaran hebat kepada pelanggan diikuti menyediakan Gogi Kcspicy Ramyeon sebagai daya tarikan.

“Rancangan saya pada masa akan datang untuk membuka francais makanan Korea sendiri kepada pelanggan tanpa mengira kawasan.

“Semoga pandemik yang melanda segera berakhir bagi memudahkan perniagaan yang dijalankan terutama dalam menyediakan hidangan makanan Korea kepada pelanggan dengan harga yang berpatutan,” ujarnya lagi.

Bagi pelanggan yang menggemari makanan ala-ala Korea, mereka dialu-alukan untuk melayari KCSPICY di laman Facebook dan juga Instagram.

 

Suara Sarawak