Ayuh meriahkan Sarawakku Sayang 2020

KOTA SAMARAHAN: Orang ramai dipelawa mengunjungi Sarawakku Sayang 2020 yang sedang berlangsung di dataran terbuka bersebelahan Dewan Suarah Kota Samarahan di sini.

Pelbagai aktiviti telah dirancang dan dijalankan dalam program yang bermula hari ini sehingga esok, seperti gerai jualan makanan dan minuman, pertandingan Mobile Legend dan Beyblade.

Selain itu adalah pameran pembangunan Sarawak oleh agensi dan jabatan di bawah kerajaan Sarawak, bagi menyampaikan maklumat tentang inisiatif dan polisi kerajaan Sarawak.

Acara kemuncak hari ini adalah pada sebelah malam iaitu konsert rakyat yang menampilkan artis-artis terkenal tanah air seperti Jay Jay, Andi Bernadie, Fieya Julia, Siti Nordiana, Ricky Andrewson dan Nur Hijrah Yahya.

Pada esok hari, program ini akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada jam 10 pagi.

Program Sarawakku Sayang 2020 adalah dianjurkan kerajaan Sarawak, bertujuan menyemai dan menyuntik semangat cintakan Sarawak serta memberi kesedaran kepada rakyat tentang pentingnya menjaga Sarawak di dalam semua aspek.

Pada masa sama, ia sebagai medium untuk menyampaikan maklumat mengenai rancangan pembangunan dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak.