BERBAKI empat hari lagi, kita akan melangkah ke tahun baharu 2026, satu lembaran waktu yang masih kosong, belum tentu diketahui isinya.
Sebaliknya, 2025 yang bakal melabuhkan tirainya meninggalkan pelbagai kenangan. Ada yang manis, tidak kurang juga yang penuh ujian dan cabaran.
Namun, semua itu wajar kita syukuri kerana tanpa hari-hari yang telah berlalu, tidak akan hadir ruang untuk sesuatu yang baharu.
Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah. Tidak semua insan diberi kesempatan untuk melangkah ke lembaran masa yang seterusnya.
Justeru, detik peralihan tahun bukan sekadar perubahan angka pada kalendar.
Ia adalah ruang muhasabah untuk menilai perjalanan hidup, memperbaiki kekurangan dan memperbaharui azam demi masa depan yang lebih bermakna.
Sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini, dunia menyaksikan pelbagai cabaran, daripada ketidaktentuan ekonomi, perubahan iklim, hinggalah tekanan sosial dan emosi dalam kehidupan seharian.
Namun, di sebalik segala ujian tersebut, kita masih berdiri teguh, meneruskan kehidupan dengan semangat kebersamaan dan harapan yang tidak pernah pudar.
Inilah bukti bahawa manusia memiliki daya tahan dan keupayaan untuk bangkit, selagi nilai syukur dan keinsafan terus subur dalam jiwa.
Sesungguhnya, tahun baharu mengajar kita untuk menghargai perkara-perkara kecil yang sering terlepas pandang.
Kesihatan yang baik, keluarga yang menyokong, keamanan dalam komuniti serta peluang untuk bekerja dan menimba ilmu, semuanya adalah nikmat besar yang menjadi asas kesejahteraan hidup.
Apabila rasa syukur dipupuk, kita akan lebih menghargai apaapa yang dimiliki dan tidak mudah mengeluh terhadap kekurangan.
Dalam menyambut 2026, masyarakat perlu melangkah ke hadapan dengan azam yang realistik serta sikap yang lebih positif.
Perubahan bermula daripada diri sendiri dengan memperbaiki akhlak, meningkatkan disiplin, memperkukuh hubungan sesama insan serta menyumbang kepada keharmonian komuniti.
Kemajuan sesebuah masyarakat bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga melalui kekuatan nilai, perpaduan dan keprihatinan sosial.
Tahun baharu juga wajar dijadikan titik tolak untuk mempererat semangat perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan latar belakang.
Perbezaan bukan penghalang, sebaliknya satu kekuatan jika diraikan dengan sikap saling menghormati dan memahami.
Apabila kebersamaan diutamakan, cabaran yang mendatang dapat dihadapi secara kolektif dan lebih berkesan.
Tetapkan sasaran
Dalam masa sama, jangan kita lupa untuk menetapkan sasaran yang ingin dicapai kerana hidup tidak boleh sekadar menunggu.
Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Pastikan pada tahun baharu, kita menjadi lebih baik dalam segala hal.
Ungkapan ini bukan sekadar kata-kata motivasi, tetapi satu seruan agar setiap individu menilai semula perjalanan hidup dan berusaha meningkatkan kualiti diri.
Pencapaian hidup seseorang tidak semestinya diukur melalui kejayaan besar atau kemewahan semata-mata.
Bagi sesetengah individu, kejayaan bermakna mampu mengekalkan pekerjaan, membesarkan anak-anak dengan penuh tanggungjawab, memperbaiki hubungan keluarga atau bangkit daripada kesulitan hidup.
Langkahnya mungkin kecil, namun tetap bermakna.
Tahun baharu juga menjadi medan muhasabah terhadap kegagalan dan kekurangan yang pernah dilalui.
Kegagalan bukan penamat, sebaliknya guru yang mendewasakan. Individu yang benar-benar maju ialah mereka yang belajar daripada kesilapan, memperbaiki diri dan tidak mengulangi kelemahan yang sama.
Dalam konteks kerjaya dan pendidikan, tahun baharu membawa peluang untuk menetapkan matlamat yang lebih jelas dan realistik dalam meningkatkan kemahiran, menimba ilmu baharu dan memperkukuh disiplin diri.
Kejayaan tidak hadir secara mendadak, tetapi lahir daripada usaha konsisten yang dilakukan hari demi hari.
Lebih daripada itu, pencapaian hidup sebenar terletak pada kemampuan memberi manfaat kepada orang lain.
Sikap prihatin, kesediaan membantu dan sumbangan kepada masyarakat menjadikan kejayaan itu lebih bermakna dan melangkaui kepentingan diri.
Akhirnya, dalam mengejar nikmat dunia yang sementara, jangan sampai kita terlena hingga melupakan hal-hal yang abadi.
Kejayaan, harta dan kedudukan hanyalah persinggahan, bukan destinasi.
Yang kekal ialah nilai kebaikan, amal dan jejak akhlak yang kita tinggalkan.
Dunia memberi peluang, tetapi akhirat menentukan makna.
Maka berjalanlah di bumi dengan penuh syukur, namun pastikan hati sentiasa terikat pada perkara yang tidak akan luput ditelan waktu.
Semoga 2026 hadir bersamasama seribu harapan, kesejahteraan dan keberkatan buat kita semua. Insya-Allah.



