PERUBAHAN masa dan tahun merupakan kezaliman dalam kehidupan manusia, maka menjadi budaya sebahagian masyarakat di dunia menyambut kehadiran tahun baharu.
Sesetengah masyarakat mengadakan perhimpunan semata-mata menanti ambang tahun baharu.
Salah satu perkara yang sering masyarakat kita lakukan ialah memperbaharui azam atau tekad pada tahun hadapan.
Azam tersebut tidak menjadi kesalahan, bahkan ia menunjukan satu perubahan yang ingin dilakukan dalam kehidupan kita mendatang.
Itulah hakikat jiwa manusia yang sentiasa mengimani Allah SWT — sentiasa melakukan perubahan hari demi hari menuju ke arah yang lebih baik.
Manakala, kita melihat kepada takrif azam dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Keempat iaitu azam bermaksud kemahuan, cita-cita yang sangat kuat.
Kemudian dalam Islam azam merupakan perkara yang digalakkan.
Bertepatan dengan fi rman Allah SWT: “Apabila engkau berazam, maka hendaklah engkau bertawakal kepada Allah.
Sesungguhnya Allah suka kepada mereka yang bertawakal.” (maksud AliImran: 159) Masa yang berlalu tidak kembali, cuma menjadi kenangan serta teladan terhadap mereka yang menghargai apakah erti masa itu.
Oleh itu, kita digalak sentiasa berazam ke arah yang lebih baik dan azam itu tidak wajib menunggu kedatangan tahun baharu untuk memulakan perubahan.
Sebagai umat Islam perubahan berlaku setiap detik dan masa dalam umur yang diberikan.
Kerana perkara yang harus diingat ialah kematian tidak pernah mengenal waktu. Kematian datang bila-bila masa sahaja — dikehendaki oleh Sang pencipta.
Sebagaimana fi rman Allah SWT: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang ditetapkan).
Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.” (maksud al-A’raf: 34) Disebabkan kematian yang tidak pernah dapat diduga, maka ia menjadikan kematian itu sebagai satu batu loncatan untuk kita sentiasa melakukan persiapan sewajarnya.
MUHASABAH DIRI
Kesusahan, kesenangan, suka dan duka merupakan warna warni kehidupan dan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan tahun lalu, itulah roda hidup yang terpaksa kita lalui.
Benarlah fi rman Allah SWT: “Demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran).” (maksud Ali Imran: 140) Maka ia merupakan tugas kita untuk sentiasa muhasabah diri dan mengislahkan diri atas segala onak duri yang dilalui.
Muhasabah diri kita membantu untuk kembali melihat kesilapan yang dilakukan pada masa lalu sehingga pada akhirnya kita tidak mengulangi kesilapan tersebut.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Suhaib RA, Rasulullah SAW bersabda: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman.
Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”
(maksud hadis riwayat Muslim) Nasihat Saidina Umar al-Khattab RA yang berkata: “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab.
Berhiaslah untuk hari pembentangan yang agung. Sesungguhnya ringanlah penghisaban pada hari akhirat bagi sesiapa yang menghisab dirinya di dunia.” (Tuhfah al-Ahwazi, 7/156)



