ARTIKEL

Azila Sibi improvisasi matematik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BENAR kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.

Begitulah perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam mana-mana subjek sekali pun terutama Matematik yang sering dianggap sebagai subjek sukar untuk difahami.

Mungkin tidak semua gemar belajar subjek Ilmu Hisab apatah lagi menguasainya sehingga ke lebih tahap lebih tinggi.

Namun, Matematik merupakan subjek teras dalam sistem pendidikan negara, dengan erti kata lain, harus mempelajarinya walaupun sekadar menepati syarat yang ditetapkan.

Jika sebelum ini, proses pengajaran dan pembelajaran hanya melibatkan komunikasi dua hala, namun kini teknik mengajar diadaptasi dengan pelbagai keaedah termasuk menerapkan nilai interaktif dan digital.

Ia terbukti bahawa metodologi yang digunakan lebih menarik dan tidak membosankan sekali gus menggalak pelajar meneroka ilmu Matematik.

Pengetua Pusat Tuisyen Alham, Azila Sibi berkata, pihaknya melakukan improvisasi metode pembelajaran walaupun ia sama seperti sukatan pelajaran di sekolah.

“Kami aplikasikan unsur digital kerana pengajar kami ialah pencipta kandungan untuk memberi kelainan dan menitikberatkan kaedah dan gaya penyampaian semasa mengajar.

“Seseorang guru yang baik bukan sekadar pandai, tetapi perlu mempunyai kemahiran dan penyampaian berkesan, insya-Allah ia memberikan hasil terbaik kepada pelajar,” katanya.

Jelasnya, pelajar yang selama ini sukar memahami subjek Matematik, akhirnya dapat menguasainya dengan lebih baik walaupun secara berperingkat.

Ia juga usaha menjadikan guru sebagai asbab untuk mereka berjaya menguasai topik atau subjek.

Kata Azila, subjek Matematik yang nampak sukar menjadi mudah, cuma perlu tahu teknik dan formula.

PUSAT TUISYEN ALHAM

Sejarah penubuhan Pusat Tuisyen Alham diasaskan oleh Cikgu Azila bermula dengan dua pelajar sahaja yang dilakukan secara sambilan pada 2016.

Namanya mula dikenali, hasil perkongsian positif serta maklum balas baik dan meyakinkan dengan metod pembelajaran mudah difahami.

Jumlah pelajarnya berkembang sehingga lebih 100 dalam tempoh yang singkat sehingga Cikgu Azila bersama-sama rakan dan adiknya membuat keputusan untuk beroperasi secara rasmi.

“Nak dijadikan cerita, ia bermula daripada salah faham sebenarnya, ketika saya bekerja sebagai eksekutif pemasaran. Ketika membuat perkongsian Matematik, ada dua pelajar salah anggap saya sebagai guru dan meminta saya untuk mengajar mereka subjek Matematik.

“Saya cabar diri untuk mengajar dua pelajar pada 2016, selepas itu pada 2017, orang mula berkongsi dan jadilah ia sebagai kerja sampingan selain Pengurus Pemasaran di Sakamoto Mathematics.

“Jumlah pelajar semakin ramai, lebih 60 pelajar pada 2018 dan bilangan itu terus bertambah sehingga lebih 100 pelajar, maka kami memberanikan diri untuk membuat pusat tuisyen sendiri pada 2019,” katanya.

Bidang PENDIDIKAN

Anak jati kelahiran Kampung Hilir, Simanggang berusia 35 tahun itu mula mendapatkan pendidikan menengah di SMK Simanggang, Sri Aman dari tingkatan satu sehingga enam sebelum melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan.

Setelah tiga tahun, dia bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran di Kolej SATT, Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Kuching dan Pengurus Pemasaran Sakamoto Mathematic.

Pengalaman di Sakamoto Mathematic bukan sahaja terlibat dengan pemasaran, malah menjadi jurulatih pelajar Malaysia ke Pertandingan Matematik Dunia dan diangkat menjadi juri pertandingan bertaraf antarabangsa itu pada 2017 dan 2018.

SUKA MATEMATIK

Sebenarnya Cikgu Azila tidak minat mengajar, tetapi dia minat Matematik kerana ia mencabar.

“Memang diakui pada awalnya saya tidak mahu menjadi guru, malah program pendidikan di peringkat pengajian tinggi pun saya tidak minat.

“Tetapi apabila sudah mengajar tanpa sengaja, mendidik pelajar dan nampak hasilnya dapat mengubah hidup.

Keputusan baik, daripada tidak dapat sehingga berjaya melakukan sesuatu perkara, ia memberi satu kepuasan,” katanya.

Namun setelah lama-kelamaan, kata Cikgu Azila ia menyebabkan ketagihan untuk mengajar dengan lebih baik, bagi mendapatkan hasil terbaik.

“Ia seolah-olah membuat kita ketagih selepas pelajar mendapat keputusan yang baik. Jadi timbul perasaan mahu lagi, kita mahu buat lagi dengan lebih baik.

“Apabila kita dapat menyelesaikan masalah mencabar, kita puas hati dan mahu melakukan perkara lebih mencabar bagi menguji keupayaan dan kemampuan kita dalam Matematik,” katanya.

Dengan lebih tujuh tahun pengalaman, kelas Cikgu Azila disertai lebih 5,000 pelajar dalam tempoh tersebut dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia. 

TANGANI KARENAH PELAJAR

Sudah lumrah menjadi pendidik berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar.

Ia memang diakui walau di mana-mana sahaja berada tidak kira di sekolah mahupun kelas tuisyen.

Justeru, terpulang kepada pendidik itu sendiri untuk menangani dan menguruskan setiap karenah pelajar dengan berkesan.

Bagi Cikgu Azila, ia antara cabaran yang dihadapinya sepanjang bergelar pendidik, setelah memulakan pusat tuisyen.

“Memang ada di antara mereka tidak biasa bersosial atau bergaul.

Ada yang mahukan perhatian, jadi kita yang harus kreatif dalam memberi layanan kepada mereka.

“Maklum balas mereka sebenarnya penting, ia menunjukkan bahawa kehadiran mereka di dalam kelas dihargai.

Lama-kelamaan mereka dapat menyesuaikan diri dan bersosial.

“Ada juga jenis tidak suka pergi tuisyen tetapi terpaksa datang, namun karenah seperti ini harus ditangani dengan teliti, kerana lain manusia, lain acuan, lain perangainya.

“Harus ada cara dan teknik kreatif untuk menarik minat mereka sebenarnya.

Jangan marah mereka, tetapi tegur dengan cara lebih baik, seperti adik dan abang, barulah kita dapat pikat hati mereka.

“Apabila kita dapat pikat hati mereka, ia lebih mudah untuk lebih rapat dan ia menjadi kunci mereka untuk belajar,” katanya.

BERITA LAIN

Patrick Stewart Meninggal Dunia

Dunia seni lakonan antarabangsa kehilangan seorang legenda apabila pelakon tersohor Britain, Sir Patrick Stewart, meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya di Los Angeles,

Satu panggilan, simpanan lesap

BAYANGKAN satu panggilan telefon yang kedengaran begitu meyakinkan apabila suara di hujung talian memperkenalkan diri sebagai pegawai bank, polis atau agensi kerajaan. Nada percakapannya tegas,

BERITA TERBARU

Patrick Stewart Meninggal Dunia

Dunia seni lakonan antarabangsa kehilangan seorang legenda apabila pelakon tersohor Britain, Sir Patrick Stewart, meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya di Los Angeles,

Tiga lelaki ditan

MUKAH: Tiga lelaki peranak menua beumur entara 24 nyentuk 26 taun ditan pengudah ditemu positif dadah bansa methamphetamine ba Operasyen Begulai Nagang Penyah t i