ARTIKEL

Satu panggilan, simpanan lesap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAYANGKAN satu panggilan telefon yang kedengaran begitu meyakinkan apabila suara di hujung talian memperkenalkan diri sebagai pegawai bank, polis atau agensi kerajaan.

Nada percakapannya tegas, maklumat yang diberikan kelihatan tepat, malah nombor telefon yang tertera pada skrin seolah-olah mengesahkan identitinya.

Dalam keadaan cemas, seseorang mungkin tidak sempat berfikir panjang.

Arahan demi arahan dipatuhi, kod pengesahan diberikan atau wang dipindahkan ke akaun tertentu yang kononnya bertujuan untuk melindungi wang mangsa.

Hanya selepas panggilan berakhir, barulah timbul persoalan sama ada semua yang berlaku itu benar.

Ketika itu, simpanan yang dikumpulkan selama bertahun-tahun mungkin sudah lesap dalam beberapa minit.

Itulah realiti penipuan dalam talian yang semakin sukar dikenal pasti apabila penjenayah memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (Al) untuk memperdaya mangsa.

Jika dahulu, mesej yang penuh dengan kesalahan ejaan atau tawaran yang terlalu menarik untuk dipercayai menjadi petunjuk utama penipuan, kini keadaan sudah berubah.

GAMBAR HIASAN… Penipuan menggunakan kod respons pantas. Foto | Janaan Al

Penipuan kini boleh dirancang menggunakan bahasa yang kemas, dokumen palsu yang kelihatan sah serta suara dan wajah yang menyerupai individu sebenar.

Perkembangan teknologi menjadikan penipuan bukan sekadar permainan kata-kata, sebaliknya satu bentuk manipulasi yang dirancang untuk mempengaruhi emosi dan keputusan manusia.

Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Muhamad Hariz Muhamad Adnan berkata, dalam persekitaran digital, keupayaan mengenal pasti penipuan tidak lagi boleh bergantung pada rupa mesej atau suara pemanggil semata-mata.

“Kini, pengguna perlu menilai kesahihan maklumat dan mengesahkan identiti pihak yang menghubungi mereka melalui saluran rasmi.

“Malah, skala ancaman itu dapat dilihat melalui statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merekodkan 66,204 kes penipuan dalam talian pada 2025 dengan kerugian berjumlah RM2.97 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 87 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Menurut beliau, terdapat mangsa yang kehilangan wang simpanan, berdepan tekanan kewangan dan terpaksa membina semula kehidupan selepas diperdaya.

“Lebih menyedihkan, di sebalik angka itu, ada yang terjerat kerana takut ditangkap, manakala sebahagian lagi kehilangan wang kerana mempercayai peluang pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan,” katanya.

Beliau menambah penipuan telefon mencatatkan 28,388 kes pada 2025, manakala penipuan pelaburan mengakibatkan kerugian RM1.47 bilion.

“Penipuan menggunakan kod respons pantas (QR) turut menunjukkan peningkatan ketara, daripada 655 kes pada 2024 kepada 5,907 kes pada 2025.

“Oleh itu, angka ini menggambarkan bagaimana taktik penjenayah terus berubah mengikut kebiasaan pengguna, termasuk ketika melakukan pembayaran, berkomunikasi atau mencari peluang menambah pendapatan,” tambahnya.

Dalam banyak keadaan, penipu tidak perlu menggodam sistem perbankan untuk mendapatkan wang mangsa. Sebaliknya, mereka hanya perlu meyakinkan mangsa supaya melakukan transaksi sendiri.

Memetik laporan Bank Negara Malaysia (BNM), Dr. Muhamad berkata dalam 95 peratus kes penipuan, mangsa sendiri memindahkan wang kepada penjenayah.

“Ini menunjukkan kepercayaan, ketakutan dan tekanan masa boleh menjadi kelemahan yang dieksploitasi.

“Antara taktik yang sering digunakan termasuklah menyamar sebagai pegawai polis, pegawai mahkamah, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri atau pegawai bank.

“Mangsa kemudiannya diberitahu kononnya akaun mereka terlibat dalam kegiatan jenayah atau berisiko dibekukan, lalu diarahkan supaya memindahkan wang ke akaun tertentu bagi tujuan siasatan,” jelasnya.

Dalam kes lain, beliau berkata penipu membina hubungan mesra melalui media sosial sebelum meminta wang atas alasan kecemasan.

“Ada juga yang menyamar sebagai ahli keluarga atau rakan melalui aplikasi WhatsApp dengan menggunakan nombor baharu dan cerita yang mendesak untuk mengaburi pertimbangan mangsa,” tambahnya.

Penipuan pelaburan pula sering melibatkan kumpulan sembang yang memaparkan testimoni kejayaan dan keuntungan yang direka-reka bagi meyakinkan bakal pelabur.

“Di sinilah Al memainkan peranan apabila video atau suara palsu digunakan untuk menjadikan tawaran tersebut kelihatan lebih tulen.

“Malah, maklumat yang dikongsi secara terbuka di media sosial boleh memberikan petunjuk kepada penjenayah.

“Contohnya, maklumat mengenai pekerjaan, ahli keluarga, lokasi percutian dan rakaman suara mungkin digunakan untuk menghasilkan mesej yang lebih meyakinkan atau menyamar sebagai individu yang dikenali mangsa,” ujarnya.

GAMBAR HIASAN… Penipuan menggunakan kod respons pantas. Foto | Janaan Al

Sehubungan dengan itu, Dr. Muhamad berkata langkah pertama untuk melindungi diri ialah berhenti seketika sebelum bertindak.

“Jika menerima panggilan mencurigakan, tamatkan panggilan dan hubungi semula organisasi berkenaan menggunakan nombor rasmi yang diperoleh daripada sumber yang bebas daripada pemanggil tersebut.

“Jangan berkongsi kata laluan, nombor pengenalan peribadi, kod pengesahan transaksi atau kata laluan sekali guna,” katanya.

Selain itu, pengguna boleh menyemak nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan melalui portal Semak Mule PDRM di semakmule.rmp.gov. my.

“Pengguna juga boleh menyemak tawaran pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Namun, ketiadaan sesuatu nama dalam senarai amaran tidak semestinya membuktikan tawaran itu sah,” tegasnya.

Jika menjadi mangsa penipuan, pengguna dinasihatkan supaya segera menghubungi bank atau Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997.

“Sekiranya wang sudah dipindahkan, tindakan pantas amat penting. Segera hubungi talian 997.

“Kemudian, buat laporan polis dan simpan bukti seperti tangkap layar, mesej serta maklumat transaksi. Jangan padamkan perbualan yang boleh membantu siasatan,” katanya.

Dr. Muhamad turut mengingatkan pengguna dalam talian perlu sentiasa berwaspada.

“Contohnya, ada individu yang mengaku sebagai pegawai NSRC dan membuat panggilan keluar untuk meminta maklumat perbankan.

“Namun, hakikatnya, NSRC hanya menerima laporan berkaitan penipuan, bukannya menghubungi orang ramai untuk meminta kod keselamatan atau mengarahkan pemindahan wang,” tambahnya.

Dalam dunia yang semakin bergantung pada teknologi, kecanggihan sistem keselamatan sahaja tidak mencukupi jika pengguna bertindak terburu-buru.

Sikap berhati-hati, pengesahan melalui saluran rasmi dan kesediaan untuk mempersoalkan arahan yang mencurigakan kekal sebagai benteng penting dalam melindungi diri daripada penipuan.

Hal ini demikian kerana dalam sesetengah kes, penjenayah hanya memerlukan beberapa minit untuk memusnahkan kepercayaan dan menghapuskan simpanan yang dikumpulkan sepanjang hayat.

BERITA LAIN

Rumah Oren sukar ditandingi

HEBAT dan sukar ditandingi. Demikian gambaran keunggulan kontinjen Rumah Oren apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tambay 2026, baru-baru ini.

BERITA TERBARU

Jerebu: 45 kawasan catat IPU sederhana

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di 45 kawasan seluruh negara berada pada tahap sederhana berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pagi ini. Menurut portal Sistem Pengurusan