ARTIKEL

Rumah Oren sukar ditandingi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HEBAT dan sukar ditandingi. Demikian gambaran keunggulan kontinjen Rumah Oren apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tambay 2026, baru-baru ini.

Kontinjen pilihan itu mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan dengan mengumpul 538 mata, sekali gus mengetepikan cabaran dua pencabar terdekatnya.

Rumah Ungu terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan 511 mata, manakala Rumah Merah Jambu menduduki tempat ketiga selepas mengumpul 478 mata.

Kejayaan tersebut terus memperkukuh reputasi Rumah Oren sebagai kontinjen yang mencatat pencapaian membanggakan dalam temasya sukan sekolah berkenaan.

Kejohanan yang berlangsung dari 22 hingga 24 Oktober lalu, menyaksikan persaingan sengit dalam pelbagai acara balapan dan padang, selain dimeriahkan dengan penyertaan ibu bapa serta guru.

Pelibatan seluruh warga sekolah turut menyemarakkan suasana kejohanan yang berlangsung dalam semangat kesukanan dan kerjasama erat antara semua pihak.

Majlis penutupan kejohanan disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tambay, Busmani Drahman dan Guru Besar SK Tambay, Berawi Leman.

Ketika berucap, Busmani merakamkan ucapan tahniah kepada semua kontinjen yang berjaya, sambil menyifatkan pencapaian yang diraih sebagai hasil usaha gigih, disiplin dan kesungguhan para peserta.

Menurutnya, kejayaan dalam bidang sukan bukan sekadar diukur melalui pungutan mata atau kemenangan, sebaliknya mampu menjadi asas penting dalam melahirkan atlet yang berdaya saing pada masa depan.

“Tahniah dan syabas kepada kontinjen yang berjaya pada temasya kali ini.

“Saya percaya kejayaan yang diperoleh ini berkat usaha dan kerja keras selama ini,” katanya.

Sementara itu, Berawi turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak, khususnya ibu bapa yang memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang penganjuran kejohanan tersebut.

Beliau berkata, pelibatan aktif ibu bapa bukan sahaja menyemarakkan suasana pertandingan, malah memperlihatkan hubungan erat antara pihak sekolah dengan masyarakat setempat.

“Saya mewakili pihak sekolah ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, terutama ibu bapa atas sokongan yang diberikan,” katanya.

Menurut Berawi, kejohanan sukan tahunan itu turut menjadi platform penting untuk mencungkil bakat serta menyerlahkan potensi murid dalam pelbagai acara sukan.

Pada masa sama, penganjurannya membuka ruang kepada seluruh warga sekolah dan ibu bapa untuk mengeratkan silaturahim menerusi aktiviti yang sihat dan bermanfaat.

“Saya percaya dengan adanya temasya sukan seperti ini akan dapat mengeratkan lagi silaturahim antara semua pihak,” katanya.

Selain persaingan dalam acara sukan, kejohanan tersebut turut diserikan dengan pelbagai acara sampingan yang berjaya mencuri perhatian pengunjung.

Penyertaan ibu bapa dalam beberapa pertandingan turut menyerlahkan bakat dan kebolehan mereka, sekali gus menambah kemeriahan temasya berkenaan.

Dalam pertandingan karaoke, Aris Ayub muncul juara, manakala Apis dan Rohaya Jawi masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Husna pula meraih anugerah Persembahan Terbaik, sementara Zahara Chi memenangi anugerah Pakaian Terbaik.

Tidak kurang menarik, pertandingan memasak Master Chef turut mendapat sambutan apabila pasangan Kayah Nurudin dan Zahara Chi muncul juara bagi kategori Masakan Berasaskan Ayam.

Bagi kategori Masakan Berasaskan Sayur Hutan, pasangan Armsia Mahian dan Azzah Natrah Bakar mengungguli pertandingan menerusi hidangan istimewa Sayur Paku Masak Lemak Udang.

Antara acara lain yang turut dipertandingkan termasuklah lontar peluru dewasa membabitkan ibu bapa, boling kelapa, dart serta tarik tali bagi kategori lelaki dan wanita.

Penganjuran pelbagai acara itu menjadikan Kejohanan Sukan Tahunan SK Tambay 2026 bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kejuaraan, malah wadah untuk memupuk semangat muafakat, memperkukuh perpaduan dan mengeratkan hubungan antara murid, guru serta ibu bapa.

BERITA LAIN

Pencapaian penulis PUTERA

DALAM konteks perkembangan sastera di Sarawak, Hadiah Sastera Sarawak (HSS) memainkan peranan penting sebagai wadah pengiktirafan terhadap ketekunan, kreativiti dan sumbangan para penulis tempatan. Sebelum

Teknologi rapat jurang kaunseling

DUNIA sedang berubah. Cara manusia bekerja, berkomunikasi dan mendapatkan maklumat turut berubah. Tanpa kita sedari, cara manusia mendapatkan sokongan emosi juga sedang berubah. Telefon pintar,

BERITA TERBARU

Papan pintar RM10,000 untuk komuniti Sikh Kuching

KUCHING: Komuniti Sikh di Gurdwara Sahib Kuching bakal menerima sumbangan papan pintar interaktif bernilai kira-kira RM10,000 daripada Kerajaan Sarawak bagi memperluas akses pembelajaran digital dalam