KUCHING: Pengerusi Tribune Press Sdn Bhd dan SV News Sdn Bhd, Datuk Seri Azman Ujang menjadi pengikut ke-400,000 platform Facebook Suara Sarawak, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam perkembangan media sosial organisasi berkenaan.
Pencapaian itu merupakan hasil pertumbuhan secara organik sejak akaun Facebook Suara Sarawak diwujudkan pada 2019, yang didorong oleh kandungan berita, video, Reels dan hantaran yang mendapat perhatian pengguna.
Eksekutif Projek Digital Suara Sarawak, Mohd Hafeez Jeniri berkata, jumlah pengikut platform berkenaan meningkat kira-kira 100,000 sepanjang tahun ini.
“Pertumbuhan ini datang secara organik melalui berita, video, Reels dan hantaran yang mendapat sambutan serta dikongsi oleh pengguna,” katanya.
“Untuk mencapai 400,000 pengikut, kita mengambil masa kira-kira tujuh tahun bagi membina kepercayaan pengguna terhadap kandungan yang dihasilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pencapaian Suara Sarawak mencapai 400,000 pengikut di Facebook, ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, Suara Sarawak kini merekodkan purata 2.6 juta interaksi sebulan, manakala kandungannya ditonton lebih 20 juta kali sebulan.
Katanya, pencapaian itu menjadi asas kepada strategi Suara Sarawak untuk memperluas capaian kandungannya ke seluruh Malaysia, selain terus mengetengahkan berita dan keunikan Sarawak.
“Kita tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada Sarawak,” katanya.
“Kita mahu pergi ke seluruh Malaysia dan pada masa sama memastikan orang di luar Sarawak turut mempunyai keterikatan dengan Sarawak,” katanya.
“Antara strategi yang akan digunakan ialah berkongsi kandungan berita dalam kumpulan Facebook di Semenanjung serta menggunakan iklan Facebook bagi meningkatkan capaian,” katanya.
Mohd Hafeez berkata, strategi kandungan selepas ini akan terus memberi perhatian kepada kehendak audiens dengan menghasilkan berita yang menepati cita rasa pengguna serta mempunyai sudut yang menarik.
“Kita perlu melihat kepada keinginan audiens dan apa yang mereka mahu, kemudian menghasilkan berita yang menepati cita rasa mereka serta memastikan sudut berita itu menarik,” katanya.
“Kebanyakan interaksi kita datang daripada kandungan video dan imej, jadi kita akan memperbanyakkan kandungan seperti itu,” katanya.

