KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua kawasan di Sarawak dalam kategori sangat tidak sihat menunjukkan peningkatan ketara setakat jam 4 petang ini berbanding tengah hari tadi.
Menurut data Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NREB), dua kawasan tersebut ialah Serian dengan bacaan meningkat daripada 222 kepada 256, selain Lundu yang meningkat daripada 260 kepada 285.
Kawasan Samarahan pula menurun sedikit daripada 236 kepada 233, manakala Kanowit kekal pada bacaan 222.
Kawasan lain yang menunjukkan peningkatan ialah Kuching daripada 193 kepada 196, Sri Aman daripada 183 kepada 188, Kapit daripada 92 kepada 93, Miri daripada 166 kepada 167, Lubok Antu daripada 197 kepada 200 dan Lawas daripada 149 kepada 150.
Bacaan Lubok Antu pada paras 200 berada dalam kategori sangat tidak sihat.
Selain itu, kawasan yang menunjukkan penurunan ialah Sarikei daripada 197 kepada 195, Sibu daripada 185 kepada 184, Mukah daripada 182 kepada 178, Bintulu daripada 169 kepada 167, Samalaju daripada 175 kepada 174, ILP Miri daripada 169 kepada 167 dan Bario daripada 90 kepada 78.
Secara keseluruhan, 11 kawasan menunjukkan peningkatan, lapan kawasan menurun dan satu kawasan kekal setakat jam 4 petang ini.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) dalam kenyataan media hari ini berkata, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan akan terus memantau keadaan jerebu dengan teliti.
Situasi jerebu masih dipengaruhi oleh arah angin dan aktiviti titik panas di beberapa kawasan, terutama Serian dan Kota Samarahan yang masih mencatatkan IPU sangat tidak sihat.
Dalam kenyataan tersebut, pengisytiharan darurat di Serian telah ditarik balik berkuat kuasa hari ini, 7 September, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim susulan penilaian terkini jerebu.
Bacaan IPU di kawasan tersebut menunjukkan penurunan sejak tiga hari lalu.
Orang ramai dinasihati agar mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk menghadkan aktiviti luar dan mengikuti nasihat pihak berkuasa.





