KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menerusi tiang pintar Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) milik Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hanya memberikan gambaran umum mengenai status kualiti udara dan bukan rujukan rasmi.
Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dalam kenyataan berkata, bacaan berkenaan tidak digunakan sebagai sumber rujukan rasmi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Tiang pintar ESG dilancarkan sebagai projek perintis MBKS pada awal 2026 bagi menyediakan data kualiti udara secara masa nyata.
Antara data yang direkodkan termasuk bacaan PM2.5, karbon dioksida, suhu dan kelembapan, selain dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) serta butang kecemasan bagi meningkatkan keselamatan pengunjung taman.
Data berkenaan turut diintegrasikan dengan sistem MBKS dan Pusat Kawalan Bandar Pintar bagi membantu perancangan bandar serta meningkatkan kecekapan tindakan terhadap isu berkaitan.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen MBKS terhadap prinsip ESG, selain menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mewujudkan komuniti lebih sihat, selamat dan mampan.

