KUCHING: Tiang pintar yang memaparkan bacaan kualiti udara di Taman Awam Kuching sememangnya mengukur keadaan udara di sekelilingnya, namun angka dipaparkan bukan Indeks Pencemaran Udara (IPU) rasmi.
Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng berkata, bacaan pada Tiang Pintar Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) MBKS merupakan petunjuk kualiti udara setempat yang dijana menerusi sensor dipasang di lokasi berkenaan.
“Bagaimanapun, bacaan mungkin berbeza daripada stesen pemantauan rasmi disebabkan faktor lokasi, ketinggian pemasangan, sumber pencemaran setempat, keadaan cuaca, teknologi sensor dan tempoh purata bacaan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Menurutnya, sensor berkenaan mengumpul data nitrogen dioksida (NO2), ozon (O3), sulfur dioksida (SO2), karbon monoksida (CO), zarah terampai PM2.5 dan PM10, selain suhu serta kelembapan.
Wee berkata, sensor itu dibangunkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta menjalani proses kolokasi dan penilaian prestasi berbanding peralatan rujukan bertaraf piawai di bawah projek UKM.
Jelasnya, bacaan tersebut wajar dianggap sebagai maklumat tambahan mengenai keadaan udara di lokasi tertentu, manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) kekal sebagai rujukan berautoriti bagi laporan IPU rasmi, nasihat kesihatan dan keputusan kawal selia.
Dalam pada itu, Wee berkata, bacaan daripada tiang pintar berkenaan ketika ini belum boleh diakses orang ramai menerusi aplikasi mudah alih.
“Bacaan itu dipaparkan terus pada papan tanda LED tiang pintar bagi memberikan kesedaran kepada pengguna taman, khususnya ketika keadaan kualiti udara kurang baik.
Beliau berkata, MBKS bagaimanapun mungkin mempertimbangkan untuk menyediakan akses digital kepada bacaan tersebut kepada orang ramai pada masa hadapan, dengan penjelasan dan penafian yang sesuai bagi mengelakkan kekeliruan.
Sementara itu, Wee mengingatkan orang ramai supaya terus memantau bacaan IPU rasmi yang dikeluarkan JAS dan NREB serta mematuhi nasihat kesihatan pihak berkuasa sepanjang musim jerebu.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya kekal terhidrat, mengelakkan pembakaran terbuka dan mendapatkan rawatan sekiranya mengalami kesukaran bernafas atau gejala berkaitan jerebu,” katanya.


