Badan melecur 60 peratus  akibat letupan gas memasak

KUCHING: Seorang lelaki melecur di bahagian muka hingga ke pinggang akibat letupan gas memasak di dapur rumah kediaman berhampiran kawasan perumahan Blok K, Synergy Square, Jalan Matang, hari ini.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya telah menerima laporan sekitar jam 10.29 pagi mengatakan ada kebakaran berlaku di lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi, dedahnya, hasil pemeriksaan kejadian hanya melibatkan letupan gas memasak dan tiada sebarang kebakaran struktur bangunan yang berlaku.

“Kejadian mengakibatkan seorang lelaki dikenali sebagai Awang, 32, mengalami kecederaan iaitu melecur di bahagian muka hingga ke pinggang.

“Pemeriksaan awal mendapati anggota badan mangsa hampir 60 peratus melecur,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa pada awalnya telah diberi rawatan awal oleh pihak bomba sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan menaiki jentera bomba untuk diberi rawatan tindakan lanjut.

Terdahulu, katanya, 10 anggota daripada Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah dikerahkan ke lokasi.

Suara Sarawak