Bagaimana dapat bantu petani dan nelayan di kawasan zon merah?

KUCHING: Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang tempatan diarahkan untuk membeli hasil pertanian dan perikanan daripada petani serta nelayan di kawasan zon merah Covid-19 di Sarawak, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak itu berkata, ia susulan daripada keputusan JPBN baru-baru ini yang tidak membenarkan pasar tani dan pasar tamu di kawasan zon merah untuk beroperasi.

“JPBN tidak membenarkan pasar tani dan pasar tamu untuk beroperasi di kawasan zon merah.

“Justeru, untuk memastikan hasil tani dan perikanan mereka itu boleh dijual, kita telah mengarahkan Jabatan Pertanian bersama Pertubuhan Peladang tempatan untuk membeli hasil pertanian dan perikanan mereka yang tidak terjual di kawasan zon merah,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, petani yang menghadapi masalah untuk menjual hasil mereka boleh menghubungi Jabatan Pertanian di bahagian atau daerah masing-masing.

“Ini untuk memastikan hasil pertanian mereka boleh dijual dan mereka terus menjana pendapatan,” jelasnya yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah.

Menurut beliau, langkah tersebut diambil untuk mengelakkan mereka (petani dan nelayan) keluar ke bandar dan menjual hasil mereka sehingga menyebabkan mereka terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

“Perkara ini kita serahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan majlis daerah khususnya di kawasan merah untuk membuat keputusan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Keputusan ini diambil bukan bertujuan untuk menimbulkan masalah tetap untuk mengurangkan masalah yang timbul dengan penyelesaian yang ada,” ujarnya.

Kata Uggah lagi, usaha tersebut turut dilakukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan iaitu Jabatan Pertanian serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membeli hasil keluaran nelayan dan petani yang tidak dapat ke bandar untuk menjual hasil mereka.

Beliau berharap agar perkara itu dapat dipanjangkan kepada rakyat terutama golongan petani dan nelayan agar hasil mereka dapat dijual.

Suara Sarawak