KUCHING: Festival Animasi dan Permainan Borneo 2026 (BAGFest 2026) disasar berkembang menjadi hab industri kreatif bukan sahaja untuk Malaysia, malah di seluruh Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Datuk Ir. Ts. Sudarnoto Osman berkata, penganjuran BAGFest 2026 mengambil inspirasi daripada pendekatan festival di Perancis yang menyediakan ruang kepada pemain industri untuk memasarkan hasil produksi mereka.
“Ini peluang yang kita cuba wujudkan. Jika dapat dilaksanakan dengan baik di Sarawak, ia boleh dibangunkan sebagai hab dan festival yang berlangsung dari semasa ke semasa, bukan sekadar acara sekali sahaja.
“Usaha berkenaan diharap dapat menjadikan Sarawak sebagai pusat industri kreatif bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi turut meliputi rantau Asia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita seusai sesi Sembang Santai ‘Membentuk Masa Depan Digital’ sempena Festival Animasi dan Permainan Borneo 2026 (BAGFest 2026) yang diadakan di Olympia 1 Hotel Pullman di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan beberapa perkara utama yang diberi perhatian oleh SDEC sambil meluahkan harapan untuk melahirkan lebih ramai pencipta kandungan dari Sarawak.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Anuar Fariz Fadzil berkata, Kuching dipilih untuk menjadi tuan rumah edisi sulung ini berdasarkan bakat yang dimiliki, potensi yang belum diterokai serta peluang dalam industri kreatif.
“Ini merupakan kali pertama kita menganjurkan acara ini dan Kuching dipilih atas sebab yang sangat penting, iaitu memiliki banyak bakat, potensi yang belum diterokai serta banyak peluang untuk kita bangunkan.
“Kita membawa studio besar seperti PlayStation dan Bandai Entertainment, selain menyediakan peluang latihan, bengkel serta sesi perniagaan ke perniagaan (B2B),” katanya.
Sementara, BAGFest 2026 akan menghimpunkan studio antarabangsa, penerbit, pelabur serta pemain industri kreatif ke bandar raya ini dari 19 hingga 23 Ogos.
Lebih 30 penceramah antarabangsa dan Malaysia serta lebih 50 pempamer dijangka menyertai acara berkenaan.
Festival berkenaan dijangka dirasmikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 21 Ogos, selain turut dihadiri Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
