KUCHING: Bahagian Kuching bakal berwajah baharu menerusi pembangunan universiti bernilai lebih RM400 juta di Trombol, peluasan jaringan jalan raya serta pertumbuhan industri berteknologi tinggi yang dijangka mengubah landskap ekonomi wilayah itu menjelang 2035 hingga 2040.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan tersebut akan merangkumi kawasan Matang, Lundu dan Bau, selain pembukaan kawasan perumahan baharu serta pengukuhan sektor pendidikan, pelancongan dan perkhidmatan kesihatan.

Menurutnya, transformasi itu turut didorong peningkatan kemudahan infrastruktur yang menghubungkan kawasan bandar dengan daerah sekitarnya, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada penduduk.
“Kuching sekarang tidak seperti dahulu.
Kita akan meneruskan pembangunan infrastruktur sehingga ke Lundu, termasuk Jambatan Rambungan yang dijangka siap tahun depan menggunakan dana Kerajaan Sarawak.
“Apabila siap, jambatan ini akan menghubungkan Kuching dengan Lundu dan memudahkan perjalanan ke kawasan pelancongan seperti Sematan serta Telok Melano,” katanya pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Kuching di Metrocity, Matang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, antara pembangunan utama yang bakal mengubah wajah kawasan Matang dan Telaga Air ialah pembinaan kampus baharu Universiti Teknologi Sarawak Tun Openg (TAHOTECH) di Trombol dengan pelaburan melebihi RM400 juta.
“Pembangunan kampus universiti penuh yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti i-CATS itu dijangka merancakkan pertumbuhan kawasan pesisir pantai, selain membuka peluang ekonomi kepada penduduk kampung berhampiran.
“Kita mahu membangunkan universiti ini seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi. Selepas universiti ini dibangunkan, kawasan Trombol dan kampung sekitarnya akan turut berkembang dengan infrastruktur moden,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak juga merancang menaik taraf Jalan Malihah sehingga ke Batu Kawa sebagai jalan raya berkembar bagi meningkatkan kelancaran pergerakan antara Kuching, Bau dan Lundu.
“Pembangunan jaringan pengangkutan yang lebih bersepadu penting bagi menyokong pertumbuhan kawasan kediaman, pusat perkhidmatan dan industri baharu di Bahagian Kuching.
“Pada masa sama, industri baharu seperti semikonduktor dan teknologi tinggi kebanyakannya akan dibangunkan di Kuching. Ini berbeza dengan Bintulu yang mempunyai tumpuan industri pengeluarannya sendiri,” jelasnya.
Katanya, pertumbuhan sektor semikonduktor dan industri berteknologi tinggi berpotensi mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, khususnya kepada graduan bidang kejuruteraan dan elektronik.
Beliau menjangkakan perkembangan tersebut akan mengubah struktur ekonomi Kuching selepas 2030, dengan sektor penerbangan menerusi AirBorneo serta perkhidmatan kesihatan turut menjadi antara pemacu pertumbuhan baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan Kuching turut melibatkan peluasan kawasan perumahan mampu milik bagi menampung pertambahan penduduk susulan perkembangan ekonomi dan peluang pekerjaan.
Katanya, projek perumahan di Sungai Bedaun akan terus diperluas, manakala pembinaan jalan baharu antara Bako dengan Buntal bakal membuka kawasan pembangunan kediaman serta pusat perkhidmatan.
Selain itu, beliau berkata, kawasan Samariang termasuk Semariang Pinggir turut dirancang untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu yang mempunyai kemudahan lebih lengkap.
Menurutnya, kemajuan Bahagian Kuching juga akan melibatkan pembangunan sektor pelancongan di Lundu dan Bau, termasuk peningkatan kemudahan penginapan serta tarikan warisan seperti muzium masyarakat Cina dan sejarah perlombongan emas di Bau.
“Lundu sekarang sudah menjadi tempat pelancongan dengan pertambahan hotel, manakala Bau juga bukan seperti dahulu dan akan terus berkembang dengan muzium masyarakat Cina serta muzium emasnya.
“Maknanya, kawasan-kawasan ini akan bertukar wajah dan infrastruktur di Bahagian Kuching akan terus kita tingkatkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau yakin pembangunan bersepadu yang merangkumi pendidikan, infrastruktur, perumahan, industri dan pelancongan akan memperkukuh kedudukan Bahagian Kuching sebagai pusat pertumbuhan ekonomi serta perkhidmatan utama Sarawak pada masa hadapan.

