KUCHING: Sarawak bakal menjadi destinasi persinggahan kapal persiaran antarabangsa yang membawa antara 2,000 hingga 3,000 pelancong dari Singapura menerusi cadangan pembukaan laluan baharu ke Kuching, sekali gus merancakkan sektor pelancongan negeri.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, syarikat pengendali kapal persiaran terkemuka, Royal Caribbean menghantar pasukan dari Singapura untuk meninjau potensi laluan pelayaran ke Kuching sebelum meneruskan perjalanan ke Bali, Indonesia atau Kota Kinabalu, Sabah.

Menurutnya, untuk tujuan tersebut Kerajaan Sarawak sedang merancang membangunkan terminal kapal persiaran di Tanjung Sipang, berhampiran Damai, yang akan menjadi pintu masuk baharu pelancong antarabangsa ke negeri ini.
“Kita akan membangunkan infrastruktur di Damai yang membolehkan kapal persiaran membawa pelancong melawat Kuching. Sudah ada cadangan dari Singapura untuk kapal persiaran datang ke sini.
“Kapal persiaran ini membawa antara 2,000 hingga 3,000 pelancong yang akan berlabuh di kawasan Damai supaya mereka dapat melihat keunikan budaya Sarawak.
“Maknanya, kita akan membangunkan terminal kapal persiaran tersebut. Inilah antara perancangan masa depan kita yang sedang dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Kuching, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, tinjauan yang dijalankan Royal Caribbean membuka potensi Sarawak untuk dimasukkan dalam rangkaian pelayaran antarabangsa yang menghubungkan beberapa destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara.
Tambahnya, terminal itu akan dilengkapi kemudahan imigresen dan kastam, selain jalan penghubung ke Damai bagi memudahkan pergerakan pelancong ke kawasan tarikan utama di sekitar Santubong dan Kuching.

Ditanya mengenai kos pembangunan terminal tersebut, beliau berkata, anggaran sebenar akan diumumkan kemudian, namun menegaskan pemilihan lokasi baharu itu membolehkan perbelanjaan dikurangkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan terminal kapal persiaran berkenaan akan disokong dengan peningkatan jaringan pengangkutan darat, termasuk menaik taraf Jalan Sultan Tengah kepada jalan raya berkembar.
“Kemudian, kita juga merancang membawa Transit Aliran Autonomi (ART) sehingga ke Damai. Semua ini adalah untuk menyokong pembangunan sektor pelancongan,” tambahnya.
Terdahulu, Kerajaan Sarawak pada Mac lalu mengumumkan rancangan membangunkan terminal kapal persiaran antarabangsa di kawasan Damai menerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bagi mengatasi kekurangan kemudahan pelabuhan laut dalam untuk menerima kapal persiaran bersaiz besar.
Projek berkenaan berpotensi menerima kapal yang membawa sehingga 6,000 pelancong bagi setiap pelayaran, dengan kajian kebolehlaksanaan dilaksanakan bagi menentukan kesesuaian lokasi dan keperluan teknikal pembangunan.
Perancangan tersebut turut melibatkan peningkatan kemudahan pelancongan di kawasan Damai dan Santubong, termasuk jaringan jalan raya, perkhidmatan pengangkutan serta akses ke pusat peranginan dan tarikan kebudayaan.

