BINTULU: Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar perlu diperkukuh sejak peringkat awal kerana ia merupakan kunci penting yang membuka lebih banyak peluang dalam bidang pendidikan, kerjaya serta komunikasi di peringkat global.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata dalam dunia yang semakin global, bahasa Inggeris tidak lagi dilihat sekadar sebagai mata pelajaran akademik, sebaliknya menjadi medium komunikasi utama yang menghubungkan masyarakat di seluruh dunia.


“Dalam dunia yang semakin global ini, bahasa Inggeris bukan lagi sekadar subjek akademik, tetapi merupakan alat komunikasi penting yang membuka pintu kepada pelbagai peluang sama ada dalam pendidikan, kerjaya mahupun hubungan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Peraduan Bercerita Bahasa Inggeris 2026 anjuran bersama Kelab Rotary Bintulu dan Cambridge English For Life Centre (CEFL) di Boulevard Shopping Mall Bintulu pada Sabtu.
Menurut beliau, pendekatan pembelajaran melalui bercerita merupakan antara kaedah paling berkesan dalam membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, selain membina keyakinan diri dan kemahiran komunikasi.
“Melalui aktiviti bercerita, pelajar bukan sahaja mempelajari perbendaharaan kata dan struktur ayat, tetapi turut mengasah daya imaginasi, kreativiti serta keyakinan untuk mengekspresikan diri,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru dan ibu bapa atas sokongan berterusan dalam membimbing serta memberi galakan kepada para peserta sehingga berjaya menampilkan prestasi membanggakan.
“Tanpa sokongan, bimbingan dan dorongan berterusan daripada guru serta ibu bapa, kejayaan ini tidak akan dapat dicapai. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat,” ujarnya lagi.
Beliau berharap program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang serta diperluaskan di daerah ini bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menyerlah dalam bidang bahasa dan komunikasi.



