ARTIKEL

Bahasa Melayu Dan Sejarah Wajib: Pelajar Malaysia Kuasai Identiti Nasional

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Langkah kerajaan mewajibkan semua sekolah pelbagai aliran termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) menduduki mata pelajaran Bahasa Melayu serta Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disifatkan sebagai penegasan semula terhadap asas pendidikan kebangsaan.

Penolong Kanan (Sejarah) Sekolah Menengah Swasta St. Joseph, Peter Ling Huo Hang berkata, dalam konteks kepelbagaian aliran pendidikan, ketetapan tersebut merupakan langkah strategik bagi menyatukan hala tuju dan nilai teras sistem pendidikan negara.

Beliau menjelaskan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan tidak seharusnya diletakkan pada kedudukan yang bersifat relatif mengikut aliran pendidikan tertentu.

“Penguasaan bahasa ini perlu menjadi asas bersama yang mengikat semua pelajar Malaysia tanpa mengira latar belakang, sama ada mereka menuntut di institusi kebangsaan, sekolah antarabangsa, sekolah agama atau aliran UEC.

“Dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai komponen wajib SPM, kerajaan memperkukuh peranan bahasa ini sebagai wahana ilmu serta platform pembentukan identiti nasional,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Semasa Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa semua sekolah pelbagai aliran pendidikan diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan SPM.

Anwar menegaskan, pendekatan tersebut diyakini dapat meleraikan kontroversi berkaitan isu Bahasa Melayu, selain menamatkan perbahasan berhubung syarat kemasukan ke universiti awam pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Peter Ling menambah bahawa subjek Sejarah merupakan medium penting dalam membentuk kefahaman pelajar terhadap proses pembinaan negara, perjuangan kemerdekaan serta asas kenegaraan yang telah dipersetujui bersama.

“Dalam masyarakat majmuk, pengetahuan sejarah yang menyeluruh tidak hanya membina apresiasi terhadap perbezaan, malah membantu memupuk rasa kekitaan dan tanggungjawab terhadap masa depan negara.

“Langkah kerajaan ini juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menekankan keperluan memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu dalam semua bidang. Ketetapan ini bukan bertujuan mengehadkan ruang pendidikan alternatif, sebaliknya memastikan semua aliran kekal dalam kerangka dasar nasional yang seragam,” ujarnya.

Beliau berkata, pada masa yang sama, penekanan terhadap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris merupakan satu pengiktirafan kepada keperluan global.

“Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka memerlukan generasi muda yang mampu berkomunikasi dengan yakin dalam bahasa antarabangsa.

“Justeru, keseimbangan antara pemerkasaan Bahasa Melayu dengan peningkatan kemahiran bahasa Inggeris merupakan strategi pendidikan yang realistik dan berdaya saing,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau menyatakan usaha menyediakan pilihan bahasa lain seperti Mandarin, Tamil dan Arab menunjukkan komitmen berterusan kerajaan terhadap pembinaan modal insan berbilang bahasa.

Menurutnya, dalam dunia yang saling bergantung, keupayaan menguasai lebih daripada satu bahasa memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pelajar di negara ini.

“Bagaimanapun, kejayaan dasar ini bergantung kepada beberapa prasyarat penting termasuk ketersediaan guru yang mencukupi, penyelarasan kurikulum yang sistematik serta pelaksanaan konsisten di lapangan. Tanpa rangka pelaksanaan yang mantap, matlamat dasar ini berisiko terjejas.

“Secara keseluruhannya, langkah kerajaan ini wajar dilihat sebagai usaha memperkukuh asas pendidikan kebangsaan melalui bahasa dan sejarah.

“Dengan pendekatan seimbang, menyeluruh dan berpandangan jauh, dasar ini berpotensi membentuk generasi Malaysia yang lebih berilmu, beridentiti serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU