BINTULU: Peningkatan peruntukan sektor pelancongan dalam Bajet Sarawak 2027 perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pertumbuhan perniagaan tempatan dan peningkatan pendapatan rakyat bagi memastikan manfaat pembangunan industri itu dapat dinikmati secara lebih meluas.
Pengerusi Persatuan Penggerak Pelancongan Bintulu, Ismawi Ishak berkata keberkesanan pelaksanaan bajet tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan dan unjuran hasil semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira impak sebenar ke atas ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, sektor pelancongan mempunyai potensi besar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan produk berasaskan budaya, warisan dan alam semula jadi, selain penganjuran acara yang mampu menarik pelawat dari dalam dan luar negara.
“Pelancongan bukan sekadar membawa masuk pelawat, tetapi turut mewujudkan rantaian ekonomi yang memberi manfaat kepada pengusaha penginapan, restoran, pengangkutan, peniaga kecil, penggiat seni budaya dan golongan belia,” katanya ketika mengulas Bajet Sarawak 2027 yang dibentangkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Beliau berkata, Bintulu juga berpotensi memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan menerusi penganjuran acara seperti Borneo International Kite Festival serta pelbagai program tempatan yang dapat menarik pengunjung dan mempromosikan keunikan budaya masyarakat setempat.
Bagaimanapun, katanya, penganjuran acara perlu disokong perancangan bersepadu yang merangkumi pembangunan produk pelancongan, promosi destinasi, penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam serta pelibatan komuniti setempat.
Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan kedatangan pelancong bukan sahaja meningkatkan jumlah pengunjung, tetapi turut merangsang perbelanjaan dan aktiviti ekonomi di kawasan yang dikunjungi.
Ismawi berkata, setiap perbelanjaan pelancong seharusnya memberi kesan berganda kepada ekonomi tempatan, termasuk merancakkan perniagaan makanan, penginapan, pengangkutan, kraftangan dan perkhidmatan lain.
Tambah Ismawi lagi, pengagihan peluang pembangunan yang lebih seimbang dapat membantu memperluas aktiviti ekonomi, meningkatkan penyertaan usahawan tempatan dan mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan.
Dalam pada itu, beliau berkata kejayaan Bajet Sarawak 2027 secara keseluruhan perlu dinilai berdasarkan pencapaian pelaksanaannya, termasuk jumlah projek yang disiapkan mengikut jadual, peluang pekerjaan yang diwujudkan, peningkatan pendapatan rakyat dan keberkesanan usaha merapatkan jurang pembangunan.



