MUKAH: Kejayaan seorang pemain hoki dari Bahagian Mukah mewakili Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor membuktikan potensi bakat tempatan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Mukah, Sektor Pembangunan Bakat Murid, Kueh Peng Choon berkata, pencapaian itu membuktikan kepentingan latihan, bimbingan dan pembangunan bakat secara berterusan dalam melahirkan atlet berkualiti.

Katanya, disiplin, komitmen dan semangat berpasukan perlu menjadi amalan setiap pemain, bukan sahaja ketika menjalani latihan dan menyertai pertandingan, malah dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pencarian Bakat Baharu Hoki Bahagian Mukah 2026, baru-baru ini.
Program itu menghimpunkan 34 pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, SMK Saint Patrick dan SMK Mukah.
Program anjuran Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dengan kerjasama Persatuan Hoki Negeri Sarawak dan Persatuan Hoki Bahagian Mukah itu bertujuan mengenal pasti bakat baharu dalam kalangan remaja.
Kueh berkata, program berkenaan turut memberi pendedahan praktikal mengenai teknik asas permainan hoki, selain mengenal pasti pemain pelapis yang berpotensi menyumbang kepada pasukan Sarawak dan negara pada masa hadapan.

Selain meningkatkan kemahiran sukan, program itu memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
Katanya, penglibatan dalam aktiviti sukan juga mampu meningkatkan ketahanan mental dan fizikal murid, selain menggalakkan mereka mengimbangi tuntutan akademik dengan aktiviti fizikal yang sihat.
Inisiatif itu turut selari dengan usaha memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid serta menyokong agenda pembangunan sukan negara menerusi Dasar 1Murid 1Sukan.
Dalam pada itu, Kueh merakamkan penghargaan kepada SSC, Persatuan Hoki Negeri Sarawak dan Persatuan Hoki Bahagian Mukah atas kerjasama menjayakan program berkenaan.
Program itu turut melibatkan lima guru dan tiga jurulatih, termasuk Coach Prakash Subramaniam, Pegawai Pembangunan Sukan Hoki, Vernity Ricky serta Setiausaha Persatuan Hoki Negeri Sarawak, Kangot Awan.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai platform mengenal pasti, mengasah dan membimbing bakat muda, sekali gus memperkukuh pembangunan hoki di Bahagian Mukah dan Sarawak.





